Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahKolumnisUtama

LTTE: Haramkan parti ultra kiasu

Liciknya ultra kiasu, pembunuhan kejam umat Islam tak pula bersimpati

KENAPA pembunuhan dan kekejaman kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kepada umat Islam di Sri Lanka tidak pernah mendapat simpati ultra kiasu yang meminta kaum kerabat mereka yang ditahan di bawah SOSMA dibebaskan pada hari Deepavali?

Kenapa tindakan ‘ala holocaust’ ke atas umat Islam oleh LTTE tidak pernah diketengahkan atau dibincangkan oleh ultra kiasu yang berwalakkan pertubuhan pengganas ini?

Rata-rata ultra kiasu mengatakan akan simpati mereka terhadap ‘kekejaman’ kerajaan Sinhalese Sri Lanka kepada orang Tamil. Kenapa kerajaan bertindak ‘kejam’ sedemikian rupa tidak pula dibincangkan. Buta lagi?

Begitulah cerdiknya ultra kiasu dalam politik licik mereka. Kena pada bangsa mereka, heboh satu dunia. Kena pada bangsa lain mereka diam.

Apakah kita sudah lupa pada Ogos 1990, pembunuhan dilakukan ke atas Masjid Kattnakudy, dengan menyasarkan umat Islam utara Sri Lanka, dianggarkan 172 terkorban ketika sedang kusyuk solat berjemaah.

Di daerah Jaffna pada Oktober 1987, umat Islam diberikan kata dua untuk meninggalkan wilayah tersebut. Jumlah penduduk Islam 14,844 di Jaffna telah diarah keluar dengan sehelai sepinggang, rumah-rumah mereka dirampas.

Kemuncak kekejaman LTTE terhadap umat Islam Sri Lanka sekitar tahun 1990-1991. Pada 30 Oktober 1990, detik hitam yang menimpa umat Islam, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk muslim di situ, sama ada keluar dari kawasan itu atau dibunuh.

Perintah LTTE itu mesti dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam. Sejarah mencatatkan hampir 90,000 penduduk umat Islam dihalau keluar daripada tanah airnya dalam masa dua jam. Kekejaman LTTE lebih dahsyat daripada Hitler.

Setengah sarjana menyifatkan, kekejamam LTTE merupakan pembersihan etnik paling cepat dan paling kejam dalam sejarah moden.

Penduduk Islam diusir dalam masa dua jam, dengan alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik mutlak masyarakat Tamil. Persoalannya, benarkah bahagian utara itu milik mutlak orang Tamil?

Pendapat ini selari dengan penyokong LTTE di negara ini, ultra kiasu yang berkata Tanah Melayu adalah tanah Hindu, milik orang Hindu. Renung-renungkan.

Menurut Nurul Adlina (2009) wartawan yang membuat liputan di sana, pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, selepas peristiwa hitam ini berlaku pada tahun 2009, berpeluang menemubual sebahagian penduduk Islam di Jaffna, mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.

Dalam temubual beliau (2009) dengan Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata. “Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas. “Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua – keluar atau dibunuh. Menjadi pelarian di bumi sendiri.

Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian (Nurul Adlina 2009).

Persoalannya, kenapa puak Tamil atau LTTE ini begitu memusuhi umat Islam? Pertama, LTTE mahu menjadikan wilayah utara milik mutlak mereka. Tidak ada orang lain boleh tinggal di sana melainkan orang Tamil.

Kedua, dari sudut ekonomi, kejayaan dan kelebihan yang dicapai oleh umat Islam di Sri Lanka jauh meninggalkan orang Tamil, begitu tidak disenangi oleh LTTE.

Ketiga, daripada sudut politik, umat Islam Sri Lanka turut menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai undi penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka.

Meskipun umat Islam di sana minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Islam di sana berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik Sinhala di Parlimen.

Untuk makluman, Sri Lanka ada bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus).

Keempat, kebencian terhadap umat Islam dan kejayaan yang dicapai menimbulkan kemarahan LTTE terhadap umat Islam.

Disebabkan oleh permusuhan dengan kerajaan Sri Lanka dan umat Islam, sejarah membuktikan, LTTE telah melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya tidak hanya berlalu di Sri Lanka, tetapi di luar Sri Lanka

Apakah kita sudah lupa dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 yang dilakukan oleh LTTE ketika Rajiv Gandhi berkempen di Tamil Nadu yang bagi menyokong kerajaan Sri Lanka. Rajin begitu dimusuhi oleh LTTE.

Kita berasa amat hairan kenapa segelitir masyarakat India di negara kita begitu bersimpati dengan LTTE, sedang orang Tamil sudah menjadi warganegara Malaysia. Kenapa walak masih ke sana, sama seperti segelintir ultra kiasu Cina di sini yang berwalakkan komunis di China. Misalnya, isu komik yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Sebab itu, saya menyokong penuh tindakan menangkap pemimpin ultra kiasu terbukti terlibat dengan LTTE. Parti politik ultra kiasu mesti diharamkan. Buktikan di mahkamah akan pembabitan mereka.

Meskipun LTTE telah menyerah kalah di Sri Lanka pada tahun 2009, itu bukan bermakna pertubuhan pengganas ini telah mati. Ia masih lagi subur dan hidup di sana dan di luar negara.

Apakah pembunuhan Allahyarham saudara Mohd Adib, pegawai bomba yang terkorban dalam rusuhan kuil di Subang Jaya ada kaitan dengan pembunuhan mengikut modus operandi LTTE?

Adakah mungkin juga, kuil-kuil yang begitu banyak dan berskala besar di negara turut menjadi tempat persembunyian LTTE? Mohon pihak polis siasat.

Menurut Mohamad Fikri Rosly (2009) menulis ketika konflik berakhir, LTTE sememangnya dikenali di dunia sebagai pertubuhan pengganas yang paling ganas dengan serangan berani mati yang lebih banyak jika dibandingkan dengan jumlah serangan serupa yang dilakukan Al-Qaeda, Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dan beberapa organisasi pengganas yang lain.

LTTE ternyata kumpulan pengganas yang paling dahsyat kekuatannya kerana memiliki kapal selam buatan sendiri, beberapa kapal terbang kecil dan sedikit teknologi ketenteraan yang disumbangkan dari luar.

Difahamkan juga, masyarakat Tamil seluruh dunia juga bukan setakat simpati, malah ada yang menghulurkan bantuan kepada LTTE yang kononnya ‘memperjuangkan’ penubuhan negara bagi etnik itu di Sri Lanka.

Menurut kedutaan Sri Lanka, banyak bantuan disalurkan oleh orang Tamil di Malaysia kepada Tamil Eelam, sebelum gencatan senjata berlaku.

Sebab itu, tidak mustahil sebahagian ultra kiasu Tamil negara ini turut memberikan sumbangan kepada LTTE sebagaimana yang telah dibuktikan oleh pihak polis yang telah membuat penangkapan.

Kesimpulan, jika mahu hidup aman, apa jua pertubuhan yang dikaitan dengan pengganas termasuk LTTE dan komunis, ia mesti diharamkan. Sama seperti tindakan yang telah dibuat terhada ISS, ISIS, Daesh dan sebagainya. Berlaku adillah kerana Allah suka kepada umatnya yang berlaku adil.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close