Berita UtamaPendapatUtama

Hapuskan segera tali barut China dalam kerajaan

Terbit komik propaganda bukti liciknya tali barut komunis dalam kerajaan

1. AKHIRNYA kerajaan Pakatan mengharamkan komik Komunis yang disokong kuat Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP, Menteri Kewangan Malaysia) dan Tan Kok Wai (Pengerusi DAP yang juga Duta Khas Malaysia ke China) bertajuk ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan’.

2. Tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin atas keberanian beliau.

3. Tahniah juga buat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang tegas mengharamkan pengedaran buku komunis ini di sekolah-sekolah.

4. Namun, penerbitan dan pengedaran buku ini jelas membuktian betapa liciknya tali barut komunis China menyusup dalam kerajaan.

5. Jelas Kementerian Dalam Negeri sendiri menyifatkan buku ini sebagai: “Cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis”.

6. Penyusupan tali barut komunis China secara halus dalam kerajaan-kerajaan asing ini adalah merupakan sebahagian daripada strategi ‘kuasa tajam’ (Sharp Power) China.

7. Strategi Sharp Power ini cukup penting dalam keadaan pemimpin Komunis China cuba untuk menjadikan China sebagai kuasa besar ketenteraan global.

8. Kebetulan bulan ini genap 70 tahun tertegaknya Republik Rakyat China di bawah Parti Komunis.

9. China hari ini jauh berbeza dengan China yang mundur akibat bencana revousi sosialis Mao Zedong yang memusatkan kuasa di tangan petani (berbeza dengan Marxisme-Leninisme yang memusatkan kuasa di tangan para pekerja industri).

10. China hari ini adalah hasil ‘Dasar Buka Pintu’ Deng Xiaoping yang membuka pintu kepada pelaburan langsung asing (FDI) dengan membuka Zon Ekonomi Istimewa (SEZ) di Shenzen, Zhuhai, Shantou, dan Xiamen.

11. China hari ini mampu membina ‘electromagnetic railgun’ mereka sendiri.

12. China hari ini mampu membina kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) mereka sendiri.

13. China hari ini mampu membina pesawat pejuang generasi kelima Chengdu J-20 mereka sendiri.

14. China hari ini mampu membina hypersonic glide vehicle DF-17 mereka sendiri.

15. China hari ini sedang membina industri kecerdasan buatan (AI) mereka sendiri menjelang 2030.

16. Jelas, seperti mana lumrah kuasa besar lain dalam sejarah peradaban dunia, China juga tidak terkecuali daripada menjalani proses transformasi kuasa ekonomi dengan kuasa politik dan ketenteraan global.

17. Hasil proses ini dikenali sebagai geoekonomi. Amerika dulu bangkit mengetepikan Britain dengan dasar geoekonomi perlindungan industri strategik (protectionist) mereka. Hari ini China juga bangkit mencabar Amerika dengan cara ‘mencuri’ paten strategik dari Amerika (dan Barat) serta dalam masa yang sama melindungi industri strategik mereka. Lalu bagaimanakah posisi negara kita di saat ini?

18. Susulan persetujuan kerajaan Pakatan menyambung kembali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, terdapat beberapa perkembangan menarik yang berlaku. Meski pun Pakatan membatalkan projek paip gas Trans-Sabah (TSGP), namun China kelihatan banyak berkompromi.

19. Bukan sahaja ECRL diteruskan, malah China mengumumkan mahu meningkatkan eksport minyak kelapa sawit Malaysia sebanyak 500,000 tan kepada 1.62 juta tan bernilai RM3.4 bilion.

20. Sememangnya China ialah pengimport minyak dan produk berasaskan sawit kedua terbesar Malaysia pada 2018 dengan eksport biodiesel sawit Malaysia ke China meningkat daripada 140 tan (RM5.0 juta) pada 2017 kepada 41,450 tan (RM113 juta) pada 2018.

21. Dari sudut geopolitik, peningkatan import sawit oleh China terutamanya ketika pertengahan 2018 didorong situasi ketegangan perdagangan dengan Amerika di mana China mengenakan cukai import yang lebih tinggi ke atas kacang soya yang seterusnya mengurangkan import soya Amerika.

22. Minyak sawit kita jelas membantu sebahagian strategi geoekonomi China dalam berdepan Amerika.

23. Malah, selain minyak sawit, minyak mentah kita turut ‘mencuri perhatian’. Pada 26 Ogos, Reuters melaporkan bahawa import minyak mentah kita ke China telah mencecah rekod yang cukup tinggi (rujuk ‘China’s July crude oil imports from Malaysia near record: customs’).

24. Data China’s General Administration of Customs menunjukkan bahawa import minyak kita ke China mencecah 1.35 juta tan, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

25. Malah, rekod itu hanya sedikit di bawah jumlah import pada Mei 2019 iaitu 1.38 juta tan – tiga kali ganda berbanding empat bulan pertama tahun 2019 sahaja.

26. Reuters mendakwa lonjakan ini berpunca daripada tindakan Malaysia yang ‘membantu’ Venezuela melanggar sekatan antarabangsa dengan membawa masuk minyak Venezuela ke China atas nama ‘minyak Malaysia’.

27. Pada 13 Ogos lalu Lembaga Pelabuhan Johor (JPA) dan Smart Crest Sdn Bhd memeterai perjanjian untuk membangunkan projek pulau ‘bunker’ atau simpanan minyak yang terletak di Tanjung Bin, Pontian, bernilai RM2 bilion.

28. Pengarah Urusan Smart Crest, Cher Lee Kiat memaklumkan bahawa ia kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur asing dari China dan Hong Kong.

29. Seperti mana projek-projek strategik dalam negara kita sebelum ini, begitu jugalah projek pulau bunker ini berkemungkinan akan disasarkan Beijing.

30. Kita wajib merenung kembali, adakah kita selama-lamanya hanya akan menjadi bidak catur kecil?

31. Sampai bila lagi kita sekadar bergantung harap belas ehsan geoekonomi kuasa besar dengan hasil minyak sawit, minyak mentah, dan infrastruktur kita?

32. Tiadakah jalan untuk kita turut berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kuasa-kuasa besar dalam industri strategik? Jawapannya ‘ada’.

33. Namun segala-galanya perlu dimulakan dengan menghapuskan tali barut yang bersimpati dengan rejim Komunis China dari dalam kerajaan kita.

Hapuskan tali barut China dalam kerajaan.

Segera.

Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close