Berita UtamaIstimewa

Hairan mengapa tiba-tiba Mujahid mahu jadi hero Kristian, tempelak MAIS

Tiada mana-mana gereja, komuniti Kristian saman buku terbitan tahun 2014 itu

BANGI, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Belum reda pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa tiba-tiba tampil mempertahankan gerakan Kristian dan menempelak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mujahid dalam laporan portal berita FMT berkata, sebarang tuduhan yang dibuat terhadap penganut Kristian mesti berasas.

Beliau berkata demikian mengulas sebuah buku yang mendedahkan agenda Kristian yang diterbitkan oleh MAIS pada tahun 2014.

Buku digital itu mengupas mengenai gerakan evangelisme dan usaha mengkristiankan orang Islam, khususnya di Selangor.

Mujahid berkata, seluruh komuniti Kristian boleh dianggap jahat sekiranya dakwaan terbabit tidak dibuktikan.

Hairan dengan tindakan Mujahid, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mempersoalkan mengapa kini setelah tidak memegang jawatan sebagai seorang menteri, Mujahid dengan tidak semena-mena mempertahankan penganut agama Kristian.

“Saya tidak tahu mengapakah buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bertajuk ‘Pendedahan Agenda Kristian’ ini tiba-tiba dipertikaikan padahal ianya sudah hampir 10 tahun diterbitkan. Mengapa bising sekarang?

“Katanya (Mujahid), kalau ada agenda Kristianisasi maka umat Islam perlu mengambil tindakan undang-undang. Sejak dahulu lagi, banyak kali laporan polis dibuat oleh kami. Tetapi setiap kali polis atau pihak berkuasa mengambil tindakan, mulalah dimain isu hak asasi manusia oleh pejuang hak asasi, dan dilengkapi lagi dengan slogan ‘Rahmatan Lil Alamin’.

“Sebenarnya, kalaulah semua yang terkandung dalam buku ini adalah fitnah, mengapakah ketika Mujahid menjawat jawatan Menteri Agama dahulu tidak pernah bangkitkan sama sekali?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini juga, tiada mana-mana gereja atau komuniti Kristian yang membawa perkara ini ke mahkamah atau menyaman MAIS. 

“Mungkin Mujahid boleh jadi hero mereka dengan menyaman MAIS, sesuailah dengan gelaran beliau ‘Menteri Semua Agama’ satu ketika dahulu. 

“Kalaulah jadi Mujahid (atau rakan-rakannya) menyaman MAIS, kami NGO-NGO Islam sedia menghantar peguam kami dan bersedia memobilisasikan gerakan rakyat. Kerana kita yakin, kita di pihak yang benar,” katanya.

Haji Aminuddin turut mengajak orang ramai untuk membaca buku berkenaan serta memuat turun ia dari laman web MAIS sebelum ia berdepan kemungkinan terpaksa dipadamkan.

“Sebelum buku ini diharamkan atau diarah untuk dipadamkan dari laman web MAIS, eloklah kita ramai-ramai muat turun (download) dan sebarkan seluas-luasnya: http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/Buku-Pendedahan-Agenda-Kristian-Completed.pdf,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button