Berita UtamaIstimewaUtama

DAP galak keganasan jika pertahan pemimpin terbabit LTTE

Pertikai tindakan polis nampak kelemahan kerajaan PH: Mufti Pahang

Oleh Siti Fatimah Ishak, Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Safar 1441H, Rabu – Parti paling dominan dalam Kerajaan Malaysia, DAP, seolah-olah menggalakkan keganasan apabila mempersoalkan tindakan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012 bagi menahan ahli yang disyaki ada kaitan dengan LTTE.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, kes berkenaan adalah kes undang-undang membabitkan bidang kuasa mahkamah, justeru tidak perlu ada pihak lain campur tangan.

“Jika mempertikaikan perkara itu, bermakna mereka mempertikaikan kuasa mahkamah dan pihak polis sekali gus menampakkan kelemahan pada pentadbiran kerajaan,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Sejak isu penangkapan beberapa invididu yang dikaitkan dengan kegiatan LTTE timbul, pemimpin parti rasis DAP, P Ramasamy mempersoalkan mengapa SOSMA perlu digunakan untuk penahanan itu.

Suspek yang ditahan di bawah SOSMA boleh ditahan tanpa perbicaraan selama 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Setakat ini, seramai 12 individu termasuk dua ADUN dari DAP ditahan di bawah SOSMA kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE, yang disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Mufti Pahang menegaskan, sekiranya DAP cuba mempertikaikan penahanan ahli mereka – atas dakwaan mempromosi, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam – menyebabkan rakyat lagi tidak percaya kepada parti itu.

Bahkan kata Abdul Rahman, umat Islam juga akan bertambah benci kepada parti itu yang seolah-olah membela keganasan.

“Jika DAP terus mempertahankan sedangkan kita tahu perkara itu salah, maka jelas parti itu ‘bias’ kepada pihaknya sedangkan apabila orang Islam kena, DAP tak buat apa pun malah suka pula.

“Kita nampak ketidakjujuran di situ dan saya rasa itulah perkara yang semakin lama umat Islam semakin benci dan memarahi DAP,” kata beliau.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk menubuhkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close