Berita Utama

Isu SJKC Too Joon Hing: KPM diingat jangan buat pusingan U

Sudah terdapat 6 buah SJKC dalam radius 5 kilometer

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) diingatkan untuk tidak tunduk kepada permintaan pihak yang mahu projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing diteruskan.

Sebaliknya, komitmen KPM amat ditagih pada ketika ini agar kekal tegas dengan pendirian untuk menghentikan projek pembinaan berkenaan.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari menegaskan, pada ketika ini penduduk setempat sedang menunggu keputusan dan berharap KPM menepati janjinya.

“Kami bimbang KPM termakan rayuan selepas pertemuan itu dan membuat pusingan untuk membenarkan pembinaan, sedangkan tapak sekolah itu sebenarnya adalah dikhususkan untuk sekolah kebangsaan.

“Sebenarnya tiada keperluan untuk SJKC dibina dikawasan berkenaan yang majoritinya adalah penduduk Melayu dan lebih tiga buah sekolah SJKC dibina di kawasan berkenaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, setakat ini sudah terdapat enam buah SJKC dalam radius lima kilometer di kawasan berkenaan.

Dakwanya lagi, sekolah tersebut adalah SJKC Kheng Chee; SJKC Yak Chee; SJKC Bukit Serdang; SJKC Shin Cheng (Harcroft); Tzu Chi International Chinese School dan SJKC Lai Meng.

Dalam pada itu, Mohd Nor Izzat menyifatkan keputusan Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing mahu bertemu Timbalan Menteri Pendidikan 1, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon selepas surat mereka tidak dijawab sebagai biadab.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menutup semua sekolah vernakular dan menjadikan Mandarin sebagai bahasa pilihan di sekolah kebangsaan.

“Kita cadangkan supaya KPM tawarkan mata pelajaran berkenaan sebagai bahasa pilihan di sekolah kebangsaan,” ujarnya.

Terdahulu, Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor-KL (Dong Lian Selangor-KL) dan Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing memohon untuk berjumpa Hang Soon.

Pertemuan itu dilaporkan supaya kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing – yang sebelum ini diarah dihentikan – boleh disambung secepat mungkin.

Menerusi kenyataan bersama, pihak itu mendakwa, sekolah berkenaan mendapat permit pembinaan sejak Julai tahun lalu, bahkan ia memenuhi prosedur operasi KPM dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button