Berita Utama

Taufan al-Aqsa: Perubahan kedudukan kuasa Palestin-Israel

Pengiktirafan kewujudan Israel oleh sebahagian pemimpin Arab perlu diperbetul segera

BANGI, 23 Rabiulawal 1445H, Isnin – Satu gerak kerja strategik yang bersepadu perlu dilakukan bagi menyambut fasa baru dalam pertembungan Palestin-Israel. 

Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, menjadi tuntutan besar untuk masyarakat berkempen, memberikan sumbangan kewangan melalui badan-badan NGO berkaitan isu Palestin di Malaysia seperti Aman Palestin dan lain-lain badan. 

Beliau turut mengucapkan tahniah atas kejayaan mujahidin Palestin khususnya dari Briged al-Qassam yang berjaya melancarkan serangan mengejut dan membingungkan pihak Israel dan sekutu-sekutu mereka.

“Saya mentafsirkan serangan mengejut darat, udara dan laut yang dilancarkan pada 7 Oktober itu telah membawa kepada perubahan besar di dalam hala tuju pertembungan Palestin-Israel. 

“Mujahidin Palestin sedang mengubah kedudukan dari posisi bertahan selama puluhan tahun kepada posisi menyerang dan ini adalah tanda hampirnya pembukaan al-Quds dan pembebasan Palestin sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, beliau memerhati dengan teliti tindakan pemimpin-pemimpin Arab dan dunia Islam yang lain. 

Tegasnya, pengiktirafan terhadap kewujudan Israel yang telah dilakukan oleh sebahagian pemimpin Arab adalah langkah salah yang perlu kepada pembetulan segera. 

“Pastinya saya menunggu siapakah di antara mereka yang akan jujur membetulkan pendirian mereka di dalam isu pertembungan Palestin-Israel ini. 

“Keputusan mereka ini akan mempengaruhi keberhasilan pembebasan Palestin sepenuhnya kelak,” katanya.

Beliau menegaskan, mujahidin Palestin telah menjaga air muka dan maruah umat Islam untuk satu tempoh yang panjang, dari bermulanya peristiwa Nakbah pada 1948 sehingga hari ini. 

“Sesungguhnya umat Islam keseluruhannya terhutang budi kepada mujahidin Palestin atas pengorbanan mereka itu. 

“Syuhada’ yang terkorban akibat dari tindak balas Israel adalah suatu yang dijangka dan pengorbanan itu tidak akan sia-sia. 

“Semoga semua ahli keluarga mereka bersabar atas kehilangan tersebut. Sebaik-baik ganjaran adalah dari Allah SWT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button