Berita Utama

MPN tubuh pasukan petugas khas perhalusi isu pembiayaan, tenaga kerja PKS

Fokus kepada dua kumpulan paling terjejas akibat pandemik COVID-19 iaitu PKS dan golongan rentan

BANGI, 8 Rabiulawal 1443H, Jumaat  – Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini bersetuju untuk membentuk sebuah pasukan petugas khas bagi memperhalusi perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan keperluan lain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu akan melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian lain berkaitan.

“Pasukan petugas khas ini akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada majlis untuk pertimbangan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Lanai Kijang, BNM, hari ini.

Mesyuarat hari ini memberikan fokus kepada dua kumpulan paling terjejas akibat pandemik COVID-19 iaitu PKS dan golongan rentan.

“Dalam hubungan ini majlis telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan,” katanya.

Muhyiddin berkata, MPN berpandangan satu analisis terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri terkesan berdasarkan statistik terkini dikenal pasti bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Ini mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai kementerian dan agensi.

Muhyiddin berkata MPN juga bersetuju supaya agihan bantuan makanan kepada golongan rentan perlu lebih berpendekatan Seluruh Negara (whole of nation) dengan peranan pertubuhan bukan kerajaan perlu diperkasa.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button