Berita UtamaUtama

Pelarian Rohingya setuju dipindah ke pulau terpencil

Penempatan semula 7,000 pelarian dijangka bermula Disember ini

DHAKA, 23 Safar 1441H, Selasa – Bangladesh mendakwa ribuan etnik pelarian muslim Rohingya yang tinggal di kem perlindungan di Cox’s Bazar, bersetuju untuk berpindah ke sebuah pulau terpencil – yang berisiko banjir setiap tahun – Bhashan Char di Teluk Bengal.

Kira-kira 740,000 Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 berikutan tindakan kejam tentera ke atas etnik minoriti itu di negeri Rakhine.

Dhaka sebelum ini telah merancang untuk memindahkan 100,000 pelarian ke pulau itu, kerana mendakwa kepadatan melampau di kem-kem di sempadan yang mencecah hampir sejuta pelarian.

Jurucakap kerajaan Bangladesh, Mahbub Alam berkata, kira-kira 6,000 hingga 7,000 pelarian telah menyatakan kesediaan mereka untuk berpindah ke Bhashan Char.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila pelarian berkenaan akan dipindahkan, namun seorang pegawai kanan Tentera Laut – yang terbabit dalam membina kemudahan di pulau itu – berkata, penempatan semula dijangka bermula pada Disember, dengan 500 pelarian akan dihantar setiap hari.

Sejak tahun lalu, Bangladesh merancang untuk memindahkan pelarian Rohingya ke pulau terpencil berkenaan.

Bhasan Char adalah pulau yang terletak di muara Sungai Meghna, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot dari Sandwip dan dua jam perjalanan dari Hatiya.

Pulau itu dikatakan sering mengalami banjir hampir setiap tahun.

Bagaimanapun, langkah pemindahan pelarian itu mendapat kritikan sejak diusulkan pada 2015 berikutan pulau itu yang terdedah kepada keadaan cuaca yang melampau. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close