Berita UtamaUtama

Najib tahu RM42 juta masuk dalam akaun peribadi

Pendakwaan berhujah ada keterangan buktikan tertuduh pecah amanah

KUALA LUMPUR, 23 Safar 1441H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahu dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebagaimana yang terdapat dalam penyata bank, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk V Sithambaram berkata, Najib secara peribadi memindahkan dana berkenaan dan mengeluarkan cek daripada akaunnya setiap masa.

“Perlu ditegaskan bahawa semua cek yang dikeluarkan daripada akaun (berakhir dengan nombor) 906 dan akaun 898 dikeluarkan tertuduh secara peribadi dan oleh itu beliau mempunyai pengetahuan atau sepatutnya mempunyai pengetahuan mengenai jumlah cek yang besar yang dikeluarkan daripada akaun peribadinya.

“Dakwaan tidak mengetahui dana yang dikreditkan dan cek dikeluarkan dari akaun tertuduh oleh pihak pembelaan tidak dapat diterima sebagai boleh dipercayai terutama kerana beliau adalah Menteri Kewangan Malaysia yang menguruskan kewangan negara ini,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan.

Sithambaram berkata, pihak pendakwaan juga berhujah bahawa ada keterangan yang membuktikan bahawa tertuduh melakukan pecah amanah jenayah (CBT) dan oleh itu, tertuduh mesti dianggap bertindak dengan tidak jujur apabila melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, telah timbul tanggapan dan menjadi tanggungjawab tertuduh menyangkal tanggapan itu,” katanya.

Sithambaram berhujah bahawa peranan tertuduh dalam pinjaman pertama dan kedua Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) serta Jaminan Kerajaan, adalah fakta yang relevan untuk membentuk motif atau pertuduhan CBT.

Beliau merujuk keterangan pegawai penyiasat Rosli Husain bahawa terdapat kebarangkalian pemalsuan bukan representasi sebenar kerana beliau tidak menyiasat perkara itu dan oleh itu tidak dapat menentukan isu pemalsuan secara konklusif.

Terdahulu, peguam Najib, Harvinderjit Singh berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak dapat menunjukkan apa yang menyebabkan RM42 juta dipindahkan ke akaun anak guamnya.

“Tidak dibuktikan Najib mempunyai rancangan untuk mengambil RM42 juta daripada RM2 bilion yang telah diluluskan oleh KWAP,” katanya sambil menambah deposit RM42 juta ke akaun Najib dilakukan atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan dua hari mulai hari ini untuk mendengar hujah di akhir kes pendakwaan.

Najib, 66, Ahli Parlimen Pekan, berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close