Berita UtamaUtama

KPM perkemas SOP penganjuran debat di sekolah

Jawatankuasa khas ditubuh siasat pertandingan debat sentuh hal Islam

KUALA LUMPUR, 23 Safar 1441H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk semua jenis penganjuran dan pertandingan debat peringkat sekolah bagi mengelakkan isu sensitiviti yang menyentuh agama tidak berulang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ia berikutan penganjuran pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 baru-baru ini yang memilih tajuk kurang sesuai dengan menyentuh hal berkaitan agama Islam sehingga menimbulkan reaksi kurang senang kalangan pelbagai pihak.

“KPM sentiasa menyokong sebarang penganjuran program dan aktiviti yang menyumbang ke arah pembentukan sahsiah dan ‘kemenjadian’ murid di sekolah-sekolah.

“Bagaimanapun penganjuran seperti ini hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM agar tidak menimbulkan sebarang kontroversi pada masa akan datang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang bertanyakan mengenai tindakan tegas yang telah diambil kepada pihak penganjur debat berkenaan berikutan langkah menjadikan perkara yang menyentuh hal ehwal syariah Islam sebagai bahan debat.

Maszlee berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat hal berkenaan.

Siasatan mendapati, kurang komunikasi antara pihak penganjur iaitu Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban dan panel juri serta guru pengirim sekolah terbabit menjadi punca perkara itu berlaku walaupun terdapat platform untuk menyatakan bantahan.

Pada masa sama, Maszlee berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga sedang menjalankan siasatan terhadap pembabitan pelajar mereka sebagai juri pertandingan.

Penganjuran debat Piala Tun Razak telah diadakan sejak 2009 lagi, namun tiada sebarang insiden negatif berlaku sepanjang penganjuran debat dilangsung dalam tempoh berkenaan.

Penganjuran program itu adalah inisiatif untuk melatih murid supaya mampu berhujah dengan penuh kreatif dan analitikal. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close