Berita UtamaUtama

iGuru sokong syor kerajaan kaji semula kebajikan guru

JPA perlu wujudkan jawatan warden sepenuh masa seperti kaunselor

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 23 Safar 1441H, Selasa – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), supaya kerajaan melihat kebajikan, termasuk berkaitan elaun guru di negara ini khususnya yang berkhidmat di luar bandar.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, melalui saranan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh menilai semula penjawatan dan mengambil kira tugas serta gred yang sedia ada.

Beliau berkata, langkah itu juga sangat penting kerana kerajaan sudah lama tidak mereformasi penstrukturan gaji baharu guru dengan melihat kos sara hidup yang semakin mencabar, termasuk beban tugas mereka.

“Bagi ketua bidang  wajar diutamakan guru gred 48 itu, dan kalau boleh ditetapkan perjawatan guru ketua bidang dan pentadbiran dari kalangan mereka yang bergred 48. Perkara ini penting untuk memastikan hub pendidikan negara berdaya saing dan terus maju setanding negara- negara maju yang lain.

“Usaha kerajaan menaikkan elaun Kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) kepada RM50 kepada kumpulan perlaksana adalah langkah yang baik namun saya berharap pihak kerajaan menimbang untuk menaikkan elaun cola bagi  gred 41 dan 44 ini terutamanya yang bekerja di bandar.

“Bagi guru-guru dan pengetua yang bertugas di pendalaman, terutama sabah dan sarawak, perlu dinaikkan  elaun kerana tugas-tugas dan kedudukan mereka yang mencabar,” katanya ketika dihubung Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula elaun yang diberikan kepada pengetua, guru besar, penolong kanan, ketua bidang dan memberikan elaun setimpal kepada guru disiplin dan guru panitia.

Beliau turut mencadangkan kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Pendidikan atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengecualikan warden sekolah daripada pemotongan elaun rumah (kuarters kerajaan).

“Warden bertugas 24 jam di sekolah, menjaga dan mengawal (pelajar) dan tinggal dalam kuarters kerajaan tetapi elaun rumah dipotong,” kata Azih.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee mencadangkan supaya kerajaan dan JPA dapat mewujudkan jawatan warden sepenuh masa, sebagaimana kaunselor.

“Wujudkan atau lantik warden seperti kaunselor sepenuh masa di sekolah bagi menangani beban tugas guru,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close