Berita UtamaUtama

648 produk makanan kesihatan tak patuhi label dirampas

JKNS pandang serius isu akuan kesihatan tak sah, kelirukan pengguna

SHAH ALAM, 23 Safar 1441H, Selasa – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM20,560 dalam Operasi Khas Akuan Kesihatan yang dijalankan ke atas 16 premis di seluruh negeri itu Khamis lepas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, produk-produk itu dirampas kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Operasi itu adalah untuk mengenal pasti kepatuhan akuan yang dibenarkan pada pelabelan produk makanan dan minuman kesihatan yang berada di premis jualan seperti di farmasi, kedai jamu dan kedai jualan runcit.

“Antara kesalahan paling ketara ditemui dalam operasi ini adalah terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan ada yang mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu katanya, JKNS juga turut memeriksa semua label makanan di premis-premis tersebut bagi memastikan nama dan alamat pengilang ada dinyatakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 11(1)(j) PPM 1985.

“Bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di negara ini, labelnya perlu menyatakan nama dan alamat pengilang, pembungkus atau pengedar manakala produk makanan import pula, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia,” katanya.

Dr Khalid berkata, 10 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 turut dikeluarkan dan kompaun berjumlah RM30,000 dikenakan terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

Justeru katanya, JKNS amat memandang serius isu akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan atau mengelirukan pengguna dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berterusan bagi memastikan tahap keselamatan serta kualiti makanan di negara ini terkawal. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close