Berita UtamaDuniaUtama

16 juta kanak-kanak di rantau konflik tidak sihat: UNICEF

Kanak-kanak derita malnutrisi akut atau kronik berisiko terbantut

GENEVA, 23 Safar 1441H, Selasa – Kira-kira 16 juta kanak-kanak di Timur Tengah dan Afrika Utara berdepan masalah kesihatan kerana terkesan konflik yang berlaku di rantau itu, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), semalam.

Organisasi antarabangsa itu mendedahkan, 16 juta kanak-kanak berkenaan adalah berusia bawah lima tahun dan tidak mendapat makanan yang berkhasiat.

“Walaupun ada peningkatan dalam menangani masalah nutrisi, trend keseluruhan dalam pemakanan kanak-kanak mula bertambah buruk sejak tahun 2000 di Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Hampir 11 juta kanak-kanak menderita malnutrisi akut atau kronik, termasuk lebih tujuh juta kanak-kanak terbantut dan 3.7 juta lagi tidak sihat,” kata UNICEF.

Katanya, kanak-kanak yang menderita malnutrisi teruk, 11 kali lebih cenderung untuk mati tanpa rawatan, berbanding rakan sebaya mereka yang sihat.

Kebanyakan kanak-kanak berkenaan mengalami pelbagai bentuk kekurangan zat makanan sejak mulanya konflik di Syria, Yaman, Libya dan Sudan.

“Di Yaman, kira-kira dua juta kanak-kanak kurang gizi, termasuk hampir 360,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang menderita malnutrisi akut yang teruk,” kata laporan organisasi itu.

Pengarah serantau UNICEF di Timur Tengah dan Afrika Utara, Ted Chaiban berkata, kanak-kanak miskin dan terpinggir menjadi penyumbang terbesar kepada kadar penderita malnutrisi.

“Kanak-kanak yang lapar tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah, dan mereka berpotensi terbantut serta akan lebih rendah sebagai dewasa,” katanya.-  Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close