Berita UtamaUtama

Pegawai Felda didakwa sembunyi bayaran cek

RM14,788.75 telah dimasukkan ke akaun milik peribadi

SHAH ALAM, 22 Safar 1441H, Isnin – Seorang pegawai Felda didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan menyembunyikan bayaran cek berjumlah RM14,788.75.

Pegawai Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor Abdul Manap Sidek, 50, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Abdul Manap didakwa menyembunyikan pembayaran cek yang sepatutnya dibayar kepada seorang individu dan sebuah syarikat berjumlah RM14,788.75 dengan memasukkannnya ke dalam akaun Maybank miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 18 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Michael Joimin, mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Abdul Manap yang tidak diwakili peguam, memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri, ibu mertua yang sakit serta dua anak yang masih belajar.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 November ini.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close