Berita UtamaUtama

Nasharudin Mat Isa didakwa esok

Maklumat berkaitan kes dimaklumkan selepas pertuduhan dibaca

BANGI, 22 Safar 1441H, Isnin – Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, Nasharudin akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 selain pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan (KK).

SPRM berkata, pihaknya telah mendapat izin daripada Peguam Negara untuk menuduh Nasharudin esok, pada jam 9 pagi.

Dalam kenyataan sama, SPRM memaklumkan, kesemua maklumat berkaitan kes Nasharudin akan dimaklumkan esok ketika pertuduhan dibacakan.

Pada 8 Mac lalu, Nasharudin hadir di kompleks SPRM Pahang dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana oleh PAS daripada UMNO.

Pada 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu Ahli Parlimen Pandan membuat akuan bersumpah mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkait 1MDB.

Nasharudin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan ia sebagai tidak berasas, selain mendakwa ia satu fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sebelum ini, Nasharuddin telah menyerahkan dokumen termasuk penyata kewangan dan akaun bank kepada SPRM.

Katanya, penyata kewangan dan akaun milik peribadinya serta Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) yang diterajuinya sebelum ini adalah antara bukti bagi menyokong keterangannya kepada SPRM berhubung kes itu.

Selain Nasharuddin, SPRM telah memanggil beberapa individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan termasuklah Anggota Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya pada 6 Ogos 2016 juga telah mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima dana RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close