Berita UtamaUtama

Apakah PH nak tanam sikap biadab dalam mahasiswa?

Kepentingan politik didahulukan, kerajaan tak bijak selesai isu

BANGI, 22 Safar 1441H, Isnin – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bimbang dengan sikap pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa. 

Beliau berkata demikian merujuk isu graduan kejuruteraan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke yang melakukan protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas, sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ baru-baru ini. 

Difahamkan dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Kebanyakan pemimpin PH terutama parti tamak haloba DAP dilihat seperti menyokong perbuatan itu malah mempertahankan tindakan tidak sopan graduan kejuruteraan berkenaan.

Ia termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa Datuk Abdul Rahim  menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Yan Ke susulan protes berkenaan.

Shamsul Anuar yang kesal dengan situasi itu menyifatkan bahawa kerajaan PH tidak bijak dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kebebasan bersuara, dan berdemonstrasi memang dibenarkan oleh undang-undang negara. Rakyat diberikan hak untuk melakukannya. Ianya sesuai dengan amalan demokrasi dalam negara ini.

“Bagaimanapun, sebagai rakyat ia bukan bermakna kita boleh melakukan apa saja apatah lagi melanggar undang-undang yang ada. Undang undang mesti dihormati serta dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih membimbangkan, kata Ahli Parlimen Lenggong itu, adalah sikap pimpinan kerajaan PH itu sendiri. 

“Saya ingin bertanya kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan. Apakah sebenarnya nilai yang kerajaan PH ingin tanam di kalangan pelajar dan mahasiswa di negara ini? 

“Apakah sikap biadap, tidak menghormati majlis, tidak sopan, adalah nilai yang ingin dibina pada pelajar dan mahasiswa? 

“Nampaknya, kepentingan politik didahulukan apabila berhadapan dengan isu ini. Kalau ini berterusan institusi pendidikan negara akan terus dihina,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close