Berita UtamaUtama

Wanita paling berisiko kemurungan, sakit mental

Gangguan kebimbangan dialami rakyat Malaysia meningkat 30 peratus

Oleh Fazleen Safina

KAJANG, 21 Safar 1441H, Ahad – Kadar penyakit kemurungan dan gangguan kebimbangan (anxiety disorder) yang dialami rakyat di negara ini, meningkat sehingga 30 peratus pada tahun 1997 hingga 2015.

Menyifatkan ia sangat membimbangkan, Pensyarah Klinikal (Pediatrik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Azyati Yusoff berkata, penyakit berkenaan juga berada di tangga kedua selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, individu yang mengalami masalah kemurungan boleh dikesan seawal sejak berusia 16 tahun.

“Cara berfikir yang berlebihan mengakibatkan timbulnya tekanan. Pesakit dengan gejala sedih dan cepat marah selama dua minggu berturut-turut perlu berjumpa dengan doktor berdekatan serta dirawat segera dengan ubat yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Seminar Wanita Islam, Wanita Muslimah: Perjuanganmu bermula dari rumah anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kajang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita Isma Kajang berkata, pada 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa lima peratus golongan wanita berpotensi untuk mendapat sakit mental, berbanding kaum lelaki yang berusia dalam lingkungan 50 hingga 74 tahun.

Dr Azyati berkata, perkara berkenaan antaranya disebabkan oleh faktor genetik dan juga hormon yang terdapat pada kaum wanita.

“Masalah emosi jika gagal dikawal boleh menyebabkan hilangnya kewarasan, sekali gus menyebabkan amuk,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan golongan wanita mengenali perasaan terlebih dahulu bagi mengawal emosi, sebelum bertindak mengikut perasaan.

Katanya, langkah menarik nafas untuk bertenang dan cuba merefleksi diri ketika perasaan marah adalah antara cara untuk menangani emosi negatif.

“Sebagai umat Islam, cuba tanya diri sendiri mungin ketika itu kita jauh dengan Allah SWT atau ada perkara yang belum diselesaikan.

“Jadi, kita hendaklah sentiasa pelihara iman, jaga solat serta amalkan al-mathurat dua kali sehari bagi mengelakkan keluh-kesah,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close