Berita UtamaDunia

Protes ‘Hari Peringatan’ bantah rejim Myanmar bunuh muslim Rohingya

Rohingya berdepan 'genosid tersembunyi' beberapa dekad

DHAKA, 6 Muharram 1442H, Selasa – Pelarian Rohingya di Bangladesh mengadakan protes senyap sebagai tanda ulang tahun ketiga tindakan keras rejim Myanmar yang membunuh ribuan minoriti muslim.

Pelarian memutuskan untuk tidak mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk menandai apa yang dikatakan sebagai ‘Hari Peringatan’ kerana pandemik COVID-19.

Menurut pihak berkuasa Bangladesh, 84 jangkitan COVID-19 sudah dilaporkan serta enam kematian akibat penyakit pernafasan di kem perlindungan.

Lebih dari 730,000 muslim Rohingya melarikan diri dari Rakhine Myanmar ke negara jiran, Bangladesh – menyertai lebih dari 200,000 pelarian yang sudah ada di sana – setelah tindakan keras yang dipimpin oleh tentera pada tahun 2017 yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijalankan dengan niat genosid.

Ribuan terbunuh, dan ramai diperkosa, diseksa, atau ditangkap dalam tindakan keras itu.

Kumpulan Rohingya dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka diusir secara paksa dari tanah air ke kem pelarian terbesar di dunia.

Katanya, Rohingya berdepan ‘genosid tersembunyi’ di Myanmar selama beberapa dekad dan meminta PBB dan organisasi lain untuk menyatakan apa yang terjadi pada tahun 2017 sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Tolong berdiri bersama-sama Rohingya yang tidak bersalah dan semoga kami dapat kembali ke rumah kami,” kata pelarian dalam kenyataan itu.

Januari lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera bagi melindungi etnik Islam Rohingya di Rakhine daripada genosid. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button