Berita UtamaUtama

Tindakan Exco Agama Perak larang BMF guris hati umat Islam

Sekat kempen jelas tonjol wajah sebenar kerajaan tak mesra isu Islam

BANGI, 21 Safar 1441H, Ahad – Tindakan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi melarang penganjuran kempen Beli Produk Muslim (BMF) di masjid seluruh negeri, bukan sahaja tidak wajar, bahkan mengguris hati umat Islam.

Kesal dengan perkara itu, Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-malaysia (Berjasa) Perak, Abdul Halim Ghazali berkata, tindakan menyekat kempen secara jelas akan menampakkan wajah sebenar kerajaan yang tidak mesra dengan isu Islam.

Beliau berkata, Asmuni hanya mendapat tindak balas negatif daripada umat Islam yang menggesa supaya beliau menarik balik arahan ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kempen BMF sepatutnya perlu diteruskan di Perak kerana ia adalah penambahbaikan kepada kempen beli barangan halal dahulu, seperti yang dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Usaha yang dipelopori oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) UMMAH ini sepatutnya diangkat oleh kerajaan sebagai usaha penambahbaikan yang sangat positif untuk menjayakan kempen beli barangan halal dahulu yang dicanangkan oleh kerajaan. 

“Ianya adalah kesedaran dan cetusan suara hati rakyat yang wajar dihormati berhadapan dengan suasana ekonomi dan kos sara hidup yang makin mencabar. 

“Kesepakatan umat Islam untuk memajukan ekonomi mereka adalah suatu yang amat murni, bahkan akan memberi kesan yang positif dalam peningkatan produktiviti dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kempen berkenaan bukan satu tindakan rasis sebagaimana didakwa sesetengah pihak, kerana produk muslim merangkumi semua bangsa.

Malah, kempen itu juga tidak menghalang umat Islam daripada membeli produk bukan Islam, selagi mana ianya halal, kata Abdul Halim.

“Di sudut yang lain kami juga memahami kempen ini juga mempunyai kesan negatif bersifat sementara, iaitu terdapat pemborong bukan muslim yang enggan mengambil produk muslim untuk dipasarkan. 

“Kami menyakini masalah ini adalah bersifat sementara dan akan dapat diatasi dari semasa ke semasa. Bahkan, usaha NGO UMMAH yang meminta usahawan muslim berdaftar dengan mereka dan seterusnya membuat jaringan perniagaan produk muslim adalah amat dipuji,” katanya.

Justeru, beliau memohon Kerajaan Negeri Perak dapat berbincang dengan semua pihak khususnya Jabatan Mufti dan NGO UMMAH di negeri berkenaan untuk kebaikan umat Islam. 

“Contohilah Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur yang telah melancarkan kempen ini dengan jayanya,” katanya.

Semalam, Asmuni dilaporkan berkata, kerajaan negeri Perak tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana NGO untuk menganjurkan kempen ‘Beli Produk Muslim’ atau ‘Buy Muslim First’ (BMF) di masjid seluruh Perak.

Asmuni berkata, kempen itu jelas bertentangan dengan polisi kerajaan negeri yang menggalakkan masyarakat mengutamakan produk halal.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close