Berita UtamaUtama

Pengumuman isu tanah Kampung Baru Khamis ini

Kerajaan tawar RM850 setiap kaki persegi tanah untuk pembangunan semula

KUALA LUMPUR, 21 Safar 1441H, Ahad – Satu pengumuman terperinci berhubung pengambilan tanah Kampung Baru akan dibuat pada Khamis ini di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, kata Menteri Wilayah Persekutan, Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, beliau telah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta ahli lembagai Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) berhubung isu berkenaan.

“Secara umumnya dalam pertemuan saya dengan ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, saya dapati bahawa mereka kesemua kelihatan begitu positif, begitu seronok dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Ramai menggambarkan satu sikap yang optimistik, yang positif dan optimis bahawa kali ini. InsyaAllah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan InsyaAllah akan dapat mencapai kejayaan. Daripada segi perinciannya hari Khamis nanti,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Jubli Emas Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-50 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pengumuman pada Khamis ini adalah berita gembira dan penambahbaikan daripada pengumuman sebelum ini, beliau hanya menjawab: “Dia (pengumuman) mestilah tambah baik, kalau tak tambah baik tak payahlah saya buat (sidang media)… InsyaAllah”.

Pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi dalam pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru. Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Pada 6 Oktober lepas, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain. Beliau berkata agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close