Berita UtamaUtama

LTTE: MIC tawar khidmat guaman untuk pancing undi kaum India

Ketaksuban blok kepartian punca dominasi politik Melayu tersungkur

BANGI, 21 Safar 1441H, Ahad – Tindakan parti komponen BN, MIC menyediakan khidmat guaman kepada suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit menyokong kumpulan pengganas, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), jelas sekali bermatlamat untuk pancing undi.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, mereka menagih undi kaum India, walaupun dalam kes membabitkan keganasan.

“Sepatutnya mereka boleh saja menyediakan khidmat guaman tanpa melibatkan platform parti. Tapi mereka tidak mahu berbuat demikian. Ini kerana, era sekarang ialah era berterus terang dengan sikap fanatik kaum.

“Tetapi realitinya, MIC tidak boleh menang di mana-mana sahaja kawasan mereka bertanding kecuali dengan undi orang Melayu. Ini fakta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, tindakan DAP dan MIC menyediakan khidmat guaman untuk mereka yang disyaki terbabit dengan jenayah berat keganasan, juga jelas berasaskan fanatik kaum yang mengetepikan rasional, lebih-lebih lagi DAP sebagai parti yang memerintah dalam kerajaan.

“Selama ini ramai umat Islam yang ditangkap kerana disyaki terlibat dengan keganasan, tetapi kita tidak mendengar mana-mana parti Melayu, Islam memberitahu mereka menyediakan khidmat guaman. 

“Mereka juga tidak melahirkan rasa simpati. Itu maknanya kita rasional, demi kestabilan negara tercinta ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa MIC yang mereka berikan undi dan kemenangan tidak mempedulikan agenda nasional, sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda fanatik kaum.

“Jika mereka mengutamakan agenda nasional, sudah tentu mereka akan mengambil tindakan berkecuali terhadap orang yang disyaki terlibat dalam LTTE dan seterusnya memberikan sokongan kepada usaha pihak polis untuk membanteras keganasan. Ini adalah agenda keselamatan nasional.

“Khidmat guaman untuk mereka yang disyaki terlibat LTTE agar mendapat keadilan di hadapan mahkamah nanti adalah tanggungjawab mereka yang tertuduh itu. Jika mereka tidak mampu, terlalu banyak saluran bantuan mereka boleh guna. Tidak perlu parti politik terlibat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengatakan MIC tidak menyokong keganasan, Ustaz Hazizi menegaskan tiada sebarang kewajaran untuk mana-mana parti politik sekutu mempertahankan MIC dan DAP dalam isu ini. 

“Ketaksuban blok kepartian mesti ada hadnya. Ingatlah, ketaksuban pada blok kepartianlah yang menyebabkan dominasi kuasa politik orang Melayu Islam di negara ini tersungkur pada PRU14 yang lalu. Belajarlah daripada kesilapan,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dilaporkan berkata, langkah MIC memberi khidmat peguam kepada suspek yang ditahan kerana disyaki menyokong LTTE tidak bermakna parti itu menyokong keganasan.

Katanya, langkah memberi khidmat peguam adalah bagi memastikan seseorang yang ditahan mendapat haknya sebagaimana dijamin di sisi undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan bahawa 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP ditahan kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.

Semalam, MIC menyatakan bahawa partinya akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada lima suspek yang ditahan baru-baru ini, kerana disyaki terbabit menyokong LTTE.

Ketua Biro Bantuan Guaman MIC, T Rajasekaran berkata, parti itu menawarkan khidmat guaman percuma kerana suspek tidak berkemampuan mendapatkan khidmat peguam sendiri.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close