Berita UtamaUtama

JBPM Johor sedia hadapi banjir

Bomba tak terkecuali berkhidmat untuk PRK, musim peperiksaan

JOHOR BAHRU, 21 Safar 1441H, Ahad – Seramai 1,250 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kini bersedia memaksimumkan tenaga bagi menghadapi musim banjir di negeri ini.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, selain banjir, JBPM juga turut tidak terkecuali untuk berkhidmat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan musim peperiksaan yang akan berlangsung November ini.

Beliau berkata, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk persediaan peralatan, jentera, latihan, pemantauan di kawasan yang berpotensi terjejas serta kemungkinan membekukan cuti anggota dan pegawai sekiranya ditugaskan untuk operasi terbabit.

“Musim hujan telah bermula dan kita berharap tidak ada banjir yang besar akan berlaku, bagaimanapun kita telah membuat persiapan dari pelbagai aspek termasuk mengarahkan semua balai-balai bomba untuk melakukan pemantauan dan rondaan sebelum berlaku banjir di tempat yang biasa berlaku banjir.

“Untuk PRK, sekiranya berlaku banjir yang biasanya akan ada jalan terputus, jadi kita mungkin akan dipanggil untuk membantu membawa peti-peti undi di kawasan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan darat. Bagi waktu peperiksaan pula kita akan membantu membawa kertas peperiksaan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Jalan Kangkar Tebrau di sini hari ini.

Tambahnya, dari aspek logistik dianggarkan lebih 50 unit bot termasuk Amphibious All Train Vehicle (AATV), 700 unit jaket keselamatan, pelampung, alat pencahayaan untuk anggota yang ditugaskan untuk menyelamat pada waktu malam serta tali berada dalam keadaan bersedia untuk digunakan.

“Tanjung Piai berada di bawah jagaan Balai Bomba Bandar Baru Pontian, jadi mereka akan bersedia. Namun, dalam masa yang sama, ia juga berada dalam daerah Pontian yang mana kita ada tiga buah balai bomba seperti Balai Bomba Bandar Pontian Lama dan Balai Bomba Pekan Nenas.

“Selain itu, ia juga di bawah seliaan kawasan Zon 1, yang mana kita ada 11 balai bomba yang boleh dikerah untuk membantu,” katanya.

Antara daerah yang sering dilihat berpotensi untuk mengalami banjir ialah Kota Tinggi, Mersing, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan sebahagian kawasan di Johor Bahru, yang turut berisiko banjir kilat.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close