Berita UtamaUtama

Gangguan bekalan air di Pulau Pinang Isnin ini

200,000 pengguna babit 15 kawasan dijangka terjejas mulai 10 pagi

GEORGE TOWN, 20 Safar 1441H, Sabtu – Kira-kira 200,000 pengguna akan menghadapi gangguan bekalan air antara 12 hingga 24 jam mulai jam 10 pagi Isnin ini, susulan insiden paip pecah di Jalan Bukit Gambir, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata, insiden itu berlaku apabila paip besi 900 milimiter (mm) bawah tanah di jalan penyelenggaraan berdekatan kompleks komersial The Pallazia pecah pada 15 Oktober lepas, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual pada malam itu sehingga keesokan harinya.

“Saluran paip ini adalah komponen utama dalam rangkaian saluran paip yang menghantar bekalan air kepada pengguna di kawasan selatan Pulau Pinang. Disebabkan hujan dan kedalaman saluran paip di kawasan itu, PBAPP telah menangguhkan pembaikan kecemasan pada 16 Oktober bagi meminimumkan kesulitan terhadap pengguna.

“Bagaimanapun bahagian paip yang pecah itu perlu diperbaiki segera bagi melancarkan tekanan air, mengurangkan kehilangan air dan menstabilkan semula sistem penghantaran bekalan air terawat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengguna di 15 kawasan yang terjejas adalah dari Jalan Bukit Gambir ke Bayan Lepas termasuk Universiti Sains Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Bukit Jambul, Relau serta Bayan Lepas yang akan mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam mulai 10 pagi Isnin ini.

Sementara itu, pengguna di Persiaran Kelicap, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar dan Bukit Penara di Balik Pulau dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi selama 24 jam bermula jam 10 pagi Isnin. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close