Berita UtamaUtama

Tajuk debat dedah kepada hujah tidak syarie, melampaui batas

Kefahaman Islam perlu berlandaskan nas-nas syarak, rujuk kepada ahli

BANGI, 19 Safar 1441H, Jumaat – Topik kontroversi yang diusulkan pihak penganjur debat Piala Tun Razak 2019 baru-baru ini, tidak sesuai dengan kematangan dan kefahaman sebenar bagi tujuan asal pertandingan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usul tajuk menulis semula al-Quran dan homoseksual bukanlah dosa dalam Islam, mungkin juga terdedah kepada hujah yang tidak syarie dan melampaui batasan.

“Topik yang diusulkan jelas menunjukkan kekeliruan. Mengapa perlu dilakukan ‘penulisan semula’ al-Quran sedangkan yang bermasalah adalah pada pemahaman segelintir pihak pada pentafsiran yang dilakukan.

“Adakah hanya kerana tindakan (mungkin salah atau betul tindakannya) beberapa orang pelajar yang bermasalah, semua pelajar di sekolah berkenaan perlu dibuang sekolah?” soalnya dalam Bayan Linnas Siri ke 216: Debat Piala Tun Abdul Razak: Inilah pendapat kami, yang diterbitkan hari ini.

Dr Zulkifli berkata, faktor yang membawa kepada pentafsiran radikal bukanlah dari ayat al-Quran itu sendiri, sebaliknya disebabkan kefahaman yang rendah dan juga pemahaman terlalu literalistik terhadap teks al-Quran.

“Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut, faktor utama munculnya radikalisme dalam beragama adalah kurangnya pemahaman yang benar dan mendalam atas inti ajaran agama Islam itu sendiri dan pemahaman literalistik terhadap teks-teks agama. (Lihat al-Sahwah al-Islamiyyah baina al-Juhud wa al-Tatarruf, m. 51-57)

“Malah, tidak ada sebab untuk pergi lebih jauh kepada seruan penulisan semula al-Quran seperti yang tertera dalam usul berkenaan. Pentafsiran al-Quran yang salah dan membawa kepada unsur radikalisme bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah Islam.

“Begitu juga usul yang menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa homoseksual bukanlah dosa dalam Islam. Tiada larangan yang jelas dari Tuhan (dalam al-Quran) yang mengatakan bahawa perbuatan homoseksual adalah sebuah dosa, sebaliknya hukuman terhadap dosa homoseksual adalah berdasarkan ‘ijtima’ yang mewarisi sikap homophobia,” katanya.

Serentak itu, Dr Zulkifli menggesa penganjur dan badan berautoriti cakna dan prihatin agar hal seperti ini tidak berlaku lagi, sementelahan topik sebegini amat memberi kesan yang besar kepada masyarakat.

“Kami juga mengharapkan kefahaman Islam benar-benar dilandaskan dengan nas-nas syarak serta dirujuk kepada ahlinya,” kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Terdahulu tular di laman sosial mengenai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar sekolah yang membabitkan topik kontroversi berkaitan asas Islam seperti Islam tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula al-Quran.

Siasatan mendapati panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kementerian Pendidikan berkata, panel terbabit yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close