Berita UtamaUtama

Pulau Pinang akan tetap sendiri had harga rumah pembeli asing

Sebelum ini kerajaan negeri tak ikut had harga RM1 juta Kerajaan Pusat

GEORGE TOWN, 19 Safar 1441H, Jumaat – Kerajaan Pulau Pinang dijangka menetapkan had harga rumah tersendiri bagi pembeli dari kalangan warga asing membeli hartanah dalam negeri, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo.

Katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu untuk dibincangkan semasa mesyuarat exco sebelum memutuskan pendirian kerajaan negeri.

“Kita perlu melihat secara keseluruhan, kerana had yang ditetapkan peringkat nasional adalah bagi menangani isu bekalan hartanah berlebihan, yang khusus merujuk kepada bangunan dengan status hakmilik strata.

“Kita akan bincangkan kemudian nanti kerana kita mahukan satu pengumuman yang rasmi supaya para pemaju memahami pendirian kita,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 tahun, bagi mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual yang jumlah keseluruhan menjangkau RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.

Bagaimanapun Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat berkata, Pulau Pinang tidak pernah menuruti amalan sama diamalkan oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan had pembelian oleh warga asing itu.

Katanya, langkah itu bukan sesuatu yang baharu, kerana kerajaan negeri sebelum ini juga tidak pernah mematuhi had pembelian RM1 juta yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

“Malah Menteri perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sendiri mencadangkan supaya setiap negeri menetapkan had masing-masing, bagi hartanah yang hendak dibeli warga asing,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close