Berita Utama

IPCMC bukan mekanisme terbaik bentuk integriti anggota polis

Apakah jaminan rahsia keselamatan negara tak terlepas pihak ketiga?

BANGI, 19 Safar 1441H, Jumaat – Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 (IPCMC) bukanlah suatu mekanisme terbaik untuk membentuk integriti dan ketelusan anggota polis.

Sebaliknya, RUU itu boleh melemahkan semangat anggota dan institusi PDRM itu sendiri, kata Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.

“RUU berkenaan memberikan kuasa mutlak kepada suruhanjaya untuk menerima dan menguruskan aduan, menjalankan penyiasatan, mempunyai kuasa tatatertib seterusnya kuasa untuk menjatuhkan hukuman sama ada amaran, denda, melucutkan hak emolument, menangguhkan pergerakkan gaji, menurunkan gaji, menurunkan pangkat atau buang kerja.

“Tetapi RUU itu tidak menyatakan sebarang peruntukan berhubung rayuan terhadap apa-apa hukuman atau keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya.

“Maka sebarang hukuman yang diputuskan oleh suruhanjaya adalah muktamad, tidak boleh dicabar, dikaji, dibatalkan, dirayu atau dibawa ke mahkamah,” katanya bimbang dengan pelaksanaan RUU berkenaan.

Khairil Nizam yakin dengan menjadikan suruhanjaya sebagai badan penyiasat, badan pendakwa dan sebagai badan kehakiman, jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang dan keadilan.

Mengulas mengenai pelantikan anggota suruhanjaya yang bakal dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri pula, Khairil mempersoalkan sama ada suruhanjaya itu akan benar-benar menjadi suatu badan bebas kerana ianya tertakluk kepada badan eksekutif iaitu perdana menteri.

“Seorang yang pernah berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan awam atau anggota pasukan polis juga tidak boleh dilantik menjadi anggota suruhanjaya.

“Dengan melantik orang awam sebagai anggota suruhanjaya maka kita menuntut apakah jaminan kerajaan bahawa rahsia keselamatan negara yang dipegang oleh PDRM tidak akan terlepas kepada pihak ketiga?,” soalnya.

Julai lalu, RUU ini dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan anggota polis.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close