Berita Utama

Kadar literasi politik rendah, Malaysia belum boleh laksana Undi 18

Daftar automatik tak selesaikan masalah jika tiada kesedaran mengundi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Perdebatan isu kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) terus menjadi topik utama meskipun sudah bertukar kerajaan baharu. 

Hakikatnya, berdasarkan situasi politik semasa, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 dalam masa terdekat.

Ini kerana, rata-rata remaja di negara ini masih rendah kadar literasi politik dan kematangan berfikir mereka disebabkan pendidikan yang masih di takuk lama.

Bukan sahaja remaja berusia 18 tahun, statistik juga menunjukkan kadar literasi politik dalam kalangan belia di bawah usia 30 tahun juga amat rendah disebabkan faktor sama, kata pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohammad.

“Secara asas, saya tidak bersetuju dengan Undi 18 disebabkan anak remaja kita masih rendah kadar literasi politik.

“Membenarkan mereka mengundi akan menyebabkan mereka akan lebih hebat dimanipulasi pelbagai agenda asing yang amat berbahaya kepada kedaulatan negara.

“Ini termasuk pengaruh liberalisme, sekularisme, Islam moderat, pluralisme, LGBT, hedonisme dan banyak lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau turut bimbang kelayakan itu akan merumitkan lagi keadaan, tatkala generasi berkenaan terdedah kepada media sosial dan dunia digital.

“Apatah lagi dalam keadaan tiada mekanisme pendidikan patriotisme yang berlaku di luar kerangka pendidikan formal di sekolah.

“Tambahan pula, pendaftaran automatik tidak menyelesaikan masalah jika generasi ini masih tidak memiliki kesedaran untuk mengundi,” katanya.

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Difahamkan sekiranya dilaksana, anggaran jumlah pengundi pada 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button