Berita UtamaUtama

Belanja mewah, ikut trend antara punca ramai Melayu bankrap

Tiada siapa boleh kembalikan maruah Melayu melainkan Melayu sendiri

BANGI, 19 Safar 1441H, Jumaat – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yakin sikap berlumba-lumba mengejar kemewahan, terikut dengan trend dan jenama antara punca kes bankrap tinggi di kalangan orang Melayu. 

“Melayu muflis kerana pelbagai sebab walaupun ada yang di luar jangka dan di luar kawalan, tetapi jika disiplin berbelanja dan berhutang tidak dikawal maka pasti gejala muflis tidak dapat dielakkan. 

“Sikap berbelanja di kalangan bangsa Melayu perlu diubah. Berlumba dan berbelanja mewah ketika perayaan, menonjol model kereta terkini, suka terikut dengan trend dan jenama antara sebab kenapa kes bangkrap tinggi dikalangan orang Melayu,” tegasnya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, semalam bahawa kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi antara tempoh 2015 hingga 2019.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, Melayu mencatat sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan 80,625 kes bankrap, iaitu sebanyak 45,147 kes.

Ia diikuti kaum Cina sebanyak 26 peratus, India (11.3 peratus), dan lain-lain ( 6.7 peratus).

Mengulas lanjut, Azmi mengakui tidak guna untuk menuding jari dalam isu ini kerana soal cuai dan tidak berhemat dalam pengurusan kewangan adalah faktor yang berpunca daripada diri sendiri.

Beliau berkata, jika orang Melayu dalam lingkungan umur produktif terperangkap dalam kes muflis, ia menandakan bangsa ini sangat sukar dipulih.

“Kesan muflis amat parah. Dari mula kualiti kehidupan akan terjejas teruk, malah lebih berat kesannya boleh sampai menjejaskan produktiviti kerja, kestabilan keluarga dan terlibat dalam jenayah.

“Maruah Melayu juga menuntut kepada kejujuran orang Melayu terhadap kelemahan diri sendiri. Tidak ada yang boleh mengembalikan maruah Melayu melainkan oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close