Berita UtamaDunia

Wanita Afghanistan protes galakan Taliban suruh pakai burqa

Belum ada arahan rasmi, tapi ada laporan Taliban sudah kuat kuasa

KABUL, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Wanita Afghanistan membantah kempen dilancarkan Taliban, yang menggalakkan wanita memakai burqa atau tudung.

Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat Afghanistan menampal poster di seluruh kafe dan kedai di Kabul, bagi menggalakkan pemakaian burqa, tudung di seluruh badan termasuk menutup muka.

“Menurut undang-undang Syariah, seorang wanita Islam mesti memakai hijab,” tulis poster itu, bersama-sama dengan gambar wanita berpakaian burqa biru dan berbaju hitam.  

Ramai wanita Islam di seluruh dunia memilih untuk memakai tudung – dalam pelbagai gaya.

Wanita Afghanistan pula secara tradisinya memakai burqa – kebanyakannya dijual dalam warna biru, putih dan kelabu.

Taliban, yang kembali berkuasa pada Ogos, telah menjelaskan bahawa kod berpakaian itu tidak wajib, tetapi menegaskan wanita harus menutup badan mereka seperti yang dikehendaki oleh agama Islam.  

Semasa tempoh terakhir mereka berkuasa antara 1996 dan 2001, pemakaian burqa telah dikuat kuasakan dengan ketat.

Hari ini, jalan-jalan di pusat bandar Kabul dipenuhi dengan wanita yang memakai pelbagai gaya tudung. 

Walaupun sesetengah berpakaian burqa yang menutup muka, yang lain memakai tudung dan pelbagai fesyen campuran tradisional dan barat.

Ramai wanita Afghanistan tidak menyifatkan arahan itu sebagai keperluan kerana tudung memang sudah menjadi sebahagian daripada pakaian harian wanita Afghanistan – manakala yang lain mengutuknya sebagai melanggar kebebasan mereka.

“Sebagai wanita Afghanistan, kami tahu hak dan kewajipan agama,” kata Jamila Afghani, seorang aktivis hak wanita dan bekas timbalan menteri buruh dan hal ehwal sosial.

“Ia sepatutnya menjadi pilihan wanita untuk memakai apa yang dia mahu,” kata Afghani, yang juga mengetuai Liga Antarabangsa Wanita untuk Keamanan dan Kebebasan (WILPF) di Afghanistan.

Bagi Afghani, kempen itu juga menunjukkan ketaksuban Taliban terhadap perkara yang tidak penting di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin meruncing sehingga menyebabkan banyak keluarga tidak dapat menyara anak-anak.

“Mereka sepatutnya sibuk mengerjakan perkara yang lebih penting daripada pakaian wanita.

“Kebanyakan wanita sudah memakai chador tradisional [selendang atau tudung], jadi mengapa isu ini dinaikkan,” tegasnya. 

Walaupun belum ada dasar untuk mengarah pemakaian burqa, mahupun hukuman bagi wanita yang tidak mematuhi nasihat itu, terdapat laporan mengenai askar Taliban yang cuba menguatkuasakannya.

“Perkara ini cenderung akan menjadi masalah jika tiada garis panduan dan latihan yang jelas terhadap pejuang Taliban,” kata, pensyarah keadilan peralihan di Universiti Amerika di Afghanistan, Obaidullah Baheer.

“Apabila mereka (pejuang Taliban) diberi tanggapan (oleh pemimpin mereka) untuk bertanggungjawab mengawal moral masyarakat, mereka pasti menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button