Berita UtamaUtama

Tolong pantau premis jual vape

Kerajaan pergiat kempen kesedaran atasi penularan rokok elektronik

ALOR SETAR, 18 Safar 1441H, Khamis – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran memantau premis-premis yang menjual rokok elektronik atau vape bagi memastikan tiada cecair terlarang dan menyalahi undang-undang dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, walaupun belum ada aduan diterima, namun pihaknya tetap mahu kawalan dilakukan.

“Kita melihat ini sesuatu yang serius dan membimbangkan kerana melibatkan remaja dan pelajar apatah lagi apabila tidak ada satu kawalan macam di kedai-kedai di mana saya rasa tidak ada kawalan setakat ini.

“Bila tidak ada kawalan anak-anak kita senang terlibat dan sebab itu, kita nak meminta semua PBT membuat pemantauan mengenainya dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada seorang pesakit strok, Wan Nordin Wan Husin, 53, di Taman Bersatu, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan kempen kesedaran bagi mengekang penularan rokok elektronik yang menurutnya sama seperti rokok biasa, boleh memberi kesan kepada kesihatan pengguna.

“Kita juga senada dengan kerajaan pusat yang melihat ada keperluan untuk kuatkuasakan larangan sepenuhnya penggunaan vape ini kelak,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, kerajaan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar di bawah Kementerian Kesihatan untuk mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape.

Jawatankuasa itu diwujudkan susulan peningkatan kes kematian pengguna vape dan rokok elektronik yang dilaporkan, iaitu seramai 28 orang di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di United Kingdom (UK).

Pada Julai lalu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close