Berita UtamaDunia

Dilabel organisasi pengganas, Hamas ambil tindakan terhadap UK

Hamas usahakan strategi dengan peguam Britain batalkan keputusan

GAZA, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Pergerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas), semalam mengumumkan bahawa ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap United Kingdom (UK) yang baru-baru ini menyenaraikannya sebagai organisasi pengganas, lapor Agensi Berita Anadolu.

Bercakap pada persidangan dalam talian yang diadakan oleh Pusat Kajian Pelarian Palestin, Ketua Biro Politik Hamas, Mousa Abu Marzouk berkata, kumpulan itu yang secara aktif bekerjasama dengan pelbagai institusi dan organisasi menentang langkah tersebut.

Hamas sedang mengusahakan strategi dengan peguam Britain untuk membatalkan keputusan itu, kata Mousa.

Mousa juga menggesa pentadbiran Palestin dan gerakan Fatah untuk berdamai atas dasar kepentingan rakyat Palestin, perkongsian dan perjuangan.

Kementerian Dalam Negeri UK mengisytiharkan dalam satu kenyataan bahawa Hamas termasuk dalam senarai organisasi pengganas yang diharamkan selepas undang-undang diluluskan oleh Parlimen pada 19 November.

Kenyataan itu berkata, ahli Hamas atau mereka yang menyokongnya, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Terdahulu, UK mengharamkan sayap tentera Hamas, yang dikenali sebagai Briged Izz Ad-Din Al-Qassam, pada tahun 2001. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button