Berita Utama

‘Jangan tertipu parti kata bersih, tapi kontrak hangpa sapu’

Anwar dakwa ada bukti pimpinan terdahulu terbabit 'sakau-menyakau'

ALOR SETAR, 18 Muharam 1445H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) hanya tahu mengumpul kekayaan apabila mereka berkuasa daripada berusaha menyelesaikan masalah kemiskinan tegar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak wajar pemimpin PN mengkritik kerajaan Madani yang berjanji untuk menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh negara kerana mereka sendiri gagal berbuat demikian ketika menjadi kerajaan selama 33 bulan.

“Sebagai kerajaan, antara langkah pertama yang kami ambil ialah cuba menghentikan kemiskinan tegar.

“Kita tahu jumlah kes kemiskinan am masih tinggi tetapi kita fokus dahulu kepada mereka yang tidak dapat membeli susu formula dan pakaian sekolah untuk anak mereka,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Pada masa sama, Anwar membidas pemimpin pembangkang kerana tidak tahu bahawa penyokong mereka sendiri tidak berkemampuan membeli barangan asas seperti susu formula.

“Nak beli susu, pakaian sekolah tak cukup duit, kita nak selesaikan… kita minta senarai nama jumlah (orang miskin) seluruh Sik, bagi nama yang susah, miskin tegar kita selesaikan tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan dakwaan parti tertentu bahawa mereka bersih kerana mendakwa mempunyai bukti bahawa ada pimpinan sebelum ini yang ‘sakau-menyakau’.

“Kita ni minyak, gas dan balak ada, hasil bumi ada, kita hentikan cara sakau ni…toksah dengar orang cakap bersih, nak habaq bagi, jangan terpukau tertipu orang Kedah (apabila mereka kata) kami bersih….bersih apa, kontrak hangpa sapu.

“Tanya aku ni Menteri Kewangan, fail ada kat aku, saya bukan fitnah orang, saya menyampah orang bercakap, tetapi tak amalkan,” katanya.

Tanpa menamakan siapa pemimpin yang dimaksudkannya, Anwar berkata, adalah tidak wajar pemimpin PN mengkritik kerajaan sedia ada kerana berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button