Berita Utama

Bantuan musim tengkujuh naik RM800

Subsidi, insentif padi diteruskan dengan peruntukan RM1.6 bilion

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1444H, Jumaat – Golongan pesawah dan pekebun kecil getah yang bertarung dengan cuaca tidak menentu terutama sewaktu musim tengkujuh, turut tidak terkecuali daripada mendapat manfaat dalam Belanjawan 2023 melalui pemberian pelbagai subsidi. 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi pesawah, kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion. 

Beliau berkata, sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta. 

“Selain sumbangan RM60 juta yang disediakan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.  

Anwar berkata, bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh, kerajaan juga bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

Sehubungan itu, beliau menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah cara tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut kerana ia menyusahkan rakyat. 

“Saya mahu LGM dan semua agensi yang terlibat lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh pekebun kecil daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan bagi meringankan beban ditanggung 320,000 golongan berkenaan, membabitkan peruntukan RM256 juta. 

Anwar berkata, bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplum Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan, memandangkan bahan CMB dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button