Berita UtamaDuniaUtama

61 pegawai atasan Iraq dipecat

Protes besar-besaran berpunca dari masalah rasuah, pengangguran

BAGHDAD, 18 Safar 1441H, Khamis – Kabinet Iraq memecat 61 pegawai atasan susulan protes besar-besaran baru-baru ini yang membunuh lebih daripada 100 orang dan menyebabkan ribuan yang lain cedera, lapor Anadolu.

Perkara itu didedahkan menerusi satu dokumen oleh Anadolu Agency, menunjukkan keputusan pemecatan diputuskan ketika mesyuarat Kabinet pada 14 Oktober lalu.

Protes yang menggegarkan ibu kota Baghdad dan wilayah selatan awal bulan ini berlaku setahun selepas Kerajaan Iraq dibentuk oleh Perdana Menteri, Adel Abdel Mahdi, berpunca daripada masalah rasuah, kegagalan perkhidmatan awam dan pengangguran.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Transparency International, Iraq berada di kedudukan 18 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Skor dan kedudukan CPI ditentukan menerusi tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala 0 (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Sementara itu, Mahkamah Iraq pada Rabu mengeluarkan waran tangkap terhadap dua pegawai polis ekoran kematian penunjuk perasaan ketika demonstrasi.

Rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Iraq sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh peningkatan pengangguran dan rasuah yang semakin merosot.  

Rakyat dilaporkan mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan asas seperti elektrik dan air bersih, dan pengangguran sekitar 10 peratus. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close