Berita UtamaUtama

4 jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan oleh Parlimen

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia turut ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 18 Safar 1441H, Khamis – Dewan Rakyat hari ini meluluskan penubuhan empat lagi Jawatankuasa Pilihan Khas, yang akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif negara.

Itu antara yang terkandung dalam Penyata Jawatankuasa Dewan yang dibentangkan kepada semua ahli Parlimen, hari ini, yang kemudiannya diterima dan dipersetujukan.

Empat Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah :

1. Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya;
2. Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan;
3. Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa; dan
4. Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.

Jawatankuasa itu bertujuan untuk memudah cara, menambah baik dasar-dasar Kerajaan supaya menjadi lebih cekap, dan pada akhirnya memberikan pengesahan kepada tindakan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas itu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan Jawatankuasa itu, serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sebarang laporan atau penyata yang dikeluarkan hasil daripada siasatan oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah dibentang dalam Dewan.

“Penyata yang telah dibentang boleh dicadangkan untuk dibahas, diterima dan dipersetujui oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” kata penyata itu.

Selain penubuhan empat jawatankuasa itu, penyata berkenaan turut memaklumkan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.

Ia adalah forum atau platform mengenai suatu topik kepentingan bersama dalam kalangan Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan senator Dewan Negara, serta pihak luar yang boleh terdiri daripada ahli akademik, golongan profesional, organisasi bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Forum atau platform itu akan digunakan untuk membincang, meneliti dan mengemukakan laporan cadangan-cadangan kepada Parlimen atau jawatankuasanya.

Penyata itu juga turut menyebut berkaitan mekanisme kawalan dalaman bagi gantian dan bekalan tambahan lencana kereta dan kad Ahli-ahli Parlimen, yang turut dipersetujui Jawatankuasa Dewan dalam memastikan tahap integriti dan keistimewaan penggunaan lencana kereta dan kad Ahli Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ini dipetik sebagai berkata, 11 Jawatankuasa Pilihan Khas akan ditubuhkan dalam usaha kerajaan menambah baik sistem institusi itu.

Antara yang telah ditubuhkan adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close