Berita Utama

Isu berkait Palestin diturunkan: Fahmi jumpa wakil TikTok, Meta

Terdapat aduan dan bukti daripada pengguna terhadap platform berkenaan

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengadakan pertemuan dengan wakil penyedia platform media sosial TikTok dan syarikat konglomerat Meta bagi membincangkan isu melibatkan kawal selia kandungan.

Fahmi menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah isu kandungan berkaitan Palestin yang diturunkan daripada TikTok, kegiatan judi dalam talian dan strategi coordinated inauthentic behaviour (CIB – tingkah laku tidak tulen terselaras) dalam platform itu.

“Dalam perbincangan itu beberapa aduan dan isu utama melibatkan dua platform telah saya bangkitkan dan minta TikTok serta Meta untuk mengambil tindakan segera. TikTok dan Meta beri komitmen untuk beri kerjasama lebih rapat dan erat untuk selesaikan isu-isu yang berbangkit,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi mendedahkan terdapat bukti dan aduan pengguna bahawa penyedia platform media sosial TikTok secara sistematik menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.

Susulan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membuat teguran keras kepada TikTok dan Meta selain mengaturkan pertemuan dengan penyedia platfrom media sosial itu untuk berbincang mengenai isu berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button