Berita UtamaDuniaUtama

Taufan Hagibis: Korban meningkat 74 orang

Shinzo Abe beri amaran kesan ekonomi berlanjutan akibat bencana

TOKYO, 17 Safar 1441H, Rabu – Jumlah kematian akibat taufan paling ganas yang membadai Jepun, meningkat kepada 74 orang, sementara 15 lagi masih hilang, kata penyiar rasmi NHK.

Penyiar kebangsaan itu berkata, 74 mangsa bencana meninggal dunia selepas Taufan Hagibis melanda Jepun tengah dan timur, manakala lebih 200 cedera dalam ribut – yang bermaksud ‘kelajuan’ dalam bahasa Tagalog Filipina.

Angka kematian tertinggi adalah di wilayah Fukushima di utara Tokyo yang mana sekurang-kurangnya 25 maut di kawasan berkenaan termasuk seorang wanita dan anaknya yang terperangkap dalam banjir, manakala anak yang lain masih hilang.

Penduduk di Koriyama, salah satu bandar besar di Fukushima berkata, bencana banjir mengejutkan mereka. Polis ketika ini sedang membuat pemantauan dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal atau memerlukan bantuan.

Sebanyak 138,000 isi rumah masih lagi mengalami gangguan bekalan air manakala 24,000 tidak mempunyai bekalan elektrik, sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada ribuan penduduk di kawasan utara di mana suhu diramalkan rendah.

“Walaupun hujan dijangka reda semalam, suhu cenderung turun pada tahap rendah di banyak tempat pada minggu ini,” kata NHK.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberi amaran bahawa kesan ekonomi boleh berlanjutan.

“Kerajaan akan terus melakukan segala kemungkinan supaya mangsa bencana ini dapat kembali ke kehidupan normal mereka secepat mungkin,” kata Abe kepada jawatankuasa Parlimen.

Hagibis mendarat di pulau utama Jepun di Honshu malam Sabtu lalu, membawa angin berkelajuan sehingga 216 kilometer sejam. Ia dianggap sebagai taufan paling kuat dan ganas pernah membadai kawasan terbabit sejak berdekad lalu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close