Berita UtamaUtama

Tajuk debat seperti cabar ketulenan al-Quran

Semua pihak digesa patuhi garis panduan tajuk perdebatan

BANGI, 17 Safar 1441H, Rabu – Tindakan penganjur pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kontroversi dengan pemilihan tajuk debat seolah-olah mempersoalkan undang-undang Syariah, menukar isi kandungan al-Quran dan mengubah pengharaman homoseksual.

Kesal dengan perkara itu, pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya pemilihan tajuk-tajuk dalam pertandingan yang diadakan di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tajuk yang membahaskan keperluan menulis semula al-Quran sangat jelas dan nyata bahawa ia sangat bertentangan dengan akidah Islam Ahlu Sunnah Wal Jamaah. 

“Hal ini kerana Allah Azza Wa Jalla telah menjelaskan kepada kita bahawa dengan penurunan wahyu terakhir, maka syariat Islam telah lengkap dan sempurna tanpa perlu ditokok tambahnya lagi. Tajuk ini seolah-olah hendak mencabar ketulenan al-Quran sebagai kalam Allah. 

“Oleh kerana itu, tajuk debat berkenaan penulisan semula al-Quran dengan cara menambah atau sebaliknya mengurangkan kandungan asal adalah suatu yang sangat melampau dan menyimpang jauh dari ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Zamri Vinoth yang juga Ketua Pegawai Operasi One Centre Malaysia Perlis berkata, tajuk yang membahaskan mengenai amalan homoseksual menjadi suatu keharusan pula, adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta di luar norma kehidupan sebagai seorang manusia. 

“Perbahasan tajuk ini mencerminkan ketidaksopanan mendaulatkan Rukun Negara dan tidak menghormati pendirian Malaysia yang secara lantang menolak budaya LGBT di Malaysia menerusi Perdana Menteri kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyatakan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada sebarang usaha membina generasi muda yang berfikiran kritis, berpengetahuan luas serta mempunyai akhlak yang tinggi.

Namun, tegas anak didik penceramah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik itu, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara yang jelas bertentangan dan bersalahan dengan syariat.

“Oleh itu, kami menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan tegas dan keras bagi membendung masalah serta isu yang berbangkit ini. 

“Kami juga percaya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan garis panduan bagi tajuk perdebatan, maka diharapkan semua pihak dapatlah mematuhi peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan.

Isu berkaitan pertandingan debat itu dalam kalangan pelajar sekolah baru-baru ini menjadi tular di laman sosial apabila antara tajuk yang diutarakan melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.

Difahamkan, antara tajuk yang dipilih adalah ‘Islam tidak menghalang homoseksual’ dan ‘Penulisan semula Al-Quran’. Di dalam pertandingan ini, pelajar beragama Islam terpaksa menyokong kenyataan berkenaan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close