Berita UtamaUtama

Kelantan beri RM500 kepada penjawat awam tahun depan

MB berterima kasih ADUN UMNO letak jawatan ketua pembangkang

KOTA BHARU, 17 Safar 1441H, Rabu – Penjawat awam Kelantan akan menerima insentif sebanyak RM500, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan berkaitan Belanjawan Kelantan 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

“Kerajaan (negeri) bersetuju untuk memberi insentif sebanyak RM500 kepada penjawat awam di Kelantan,” katanya.

Difahamkan, insentif tersebut akan dibayar pada awal tahun hadapan.

Dalam penggulungan itu juga, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang semalam.

“Saya berterima kasih kepada Kok Lanas kerana telah pun mengisytiharkan tiada ketua pembangkang dalam dewan ini. Saya berasa lega dan saya berdoa kepada Allah SWT semoga dapat menjadikan dewan ini dewan yang terbaik untuk kita sama-sama berbincang untuk mengatasi masalah-masalah rakyat.

“Bagaimanapun yang tersiratnya Kok Lanas masih sebagai pembangkang namun mesra kerajaan dan kita masih memerlukan teguran daripada ahli dewan jika mereka melihat sebarang kekurangan (dalam pentadbiran kerajaan negeri),” katanya.

Semalam, Md Alwi meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan hasil keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Biro Politik UMNO dan Muafakat Nasional yang terjalin antara UMNO dan PAS pada September lepas.-  Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close