Berita UtamaDuniaUtama

Kebakaran hutan di Lubnan paling teruk dalam sejarah

Lebih 70 dirawat akibat masalah pernafasan, kecederaan ringan

BEIRUT, 17 Safar 1441H, Rabu – Anggota bomba di Lubnan melancarkan operasi pemadaman kebarakaran hutan di beberapa kawasan teruk terjejas di negara itu sejak dua hari lalu.

Ketua Pengarah Pertahanan Awam Lubnan, Raymond Khattar berkata, lebih 100 kebakaran yang berlaku dari utara ke selatan disifatkan sebagai kejadian paling buruk dalam sejarah negara itu.

Sekurang-kurangnya seorang lelaki maut akibat masalah pernafasan berikutan kebakaran di bandar Aley. Media Lubnan melaporkan, seorang wanita turut maut selepas berlanggar dengan trak bomba di bandar Sidon, pantai selatan.

Pasukan Palang Merah Lubnan mengesahkan lebih 70 orang dirawat di sebuah hospital di Damour, di mana kebanyakannya berpunca kerana asap serta beberapa kecederaan ringan lain.

Difahamkan, kawasan yang paling banyak terjejas adalah di wilayah Chouf dan Metn, di kawasan pergunungan Lubnan yang dianggap subur.

Kebakaran mudah merebak berikutan angin kencang dan suhu yang tidak menentu, sehingga menyebabkan hutan tebal berhampiran bandar Meshref dan Damour di Chouf teruk terjejas dan memberi kesan kepada kawasan kejiranan sejak Isnin lalu.

Pengarah program tanah dan sumber asli di Universiti Balamand, George Mitri berkata, kemusnahan yang terjadi di negara itu dijangka berterusan.

“Sebelum kebakaran ini berlaku, Lubnan telah kehilangan tiga juta pokok pada tahun 2019 disebabkan kebakaran hutan. Angka itu adalah jumlah pokok yang ditanam dalam inisiatif penghutanan semula sejak 15 tahun lalu.

“Kami mempunyai rekod baru di kawasan terbakar serta bilangan pokok. Ia benar-benar bencana kepelbagaian biologi negara ini,” katanya.-  Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close