Berita UtamaDuniaUtama

Hampir semua bayi di Yaman dilahirkan kurang berat badan

UNICEF bimbang 149 juta kanak-kanak pendek pada usia sepatutnya

YAMAN 17 Safar 1441H, Rabu – Hampir semua bayi di Yaman dilahirkan kurang berat badan, menurut data yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Laporan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyebut, angka 92 peratus kanak-kanak dilahirkan di Yaman adalah berbeza dengan angka dunia sebanyak 29 peratus, berbanding tempoh sama antara 2010 hingga 2018.

Di peringkat global, UNICEF berkata, satu daripada tiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat atau berat badan berlebihan.

“Jika kanak-kanak makan yang tidak berkhasiat, mereka akan tidak sihat. Kita berdepan masalah untuk mendapatkan diet yang sihat bagi mereka,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Henriette Fore.

Walaupun berlaku penurunan mendadak di negara-negara miskin, 149 juta kanak-kanak masih terlalu pendek untuk usia mereka, bahkan keadaan klinikal merosakkan perkembangan otak serta badan, katanya.

Keadaan itu bukan hanya menjejaskan bayi, bahkan kanak-kanak di peringkat prasekolah di Yaman, membabitkan 46 peratus berbanding 22 peratus di seluruh dunia dalam tempoh 2013 hingga 2018.

Yaman antara negara konflik yang teruk terjejas berikutan pertempuran antara gabungan dipimpin Arab Saudi dengan militan Houthi pada Mac 2015. PBB menyifatkan konflik Yaman sebagai isu kemanusiaan terburuk bagi negara bergolak.

Bulan lepas, UNICEF mendedahkan kira-kira dua juta kanak-kanak Yaman masih tidak bersekolah akibat serangan udara dan pertempuran di negara itu.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close