Berita UtamaUtama

Panel debat biadab, tak jaga sensitiviti agama: Khaled Nordin

Usul tak patut jadi instrumen halus sebar ideologi liberal, melampau

BANGI, 17 Safar 1441H, Rabu – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kontroversi, bukan sahaja keterlaluan, malah biadab tanpa mengambil kira sensitiviti agama.

Meluahkan rasa kesalnya, Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memburukkan dan memberi persepsi yang salah mengenai komuniti debat, malah kepada pertandingan itu sendiri.

“Mengapa perkara ini saya dianggap biadap dan keterlaluan? Pertama, kita tidak seharusnya sampai menolak atau membuang sepenuhnya nilai pegangan dan kepercayaan agama hanya kerana mahu berdebat. Usul-usul yang dicadangkan itu jelas memaksa peserta mengetepikan kepercayaan agama dan nilai yang mereka pegang sebagai seorang individu.

“Kedua, debat seharusnya membincangkan perkara yang logik, bersandarkan realiti dan pragmatisme. Bukannya dijadikan medan untuk mengabsahkan fantasi dan imaginasi pasukan ketua hakim yang tidak berasas dan tidak berkeperluan.

“Ketiga, debat harus menyasarkan kepada penambahbaikan dasar dan cara hidup. Bukannya dijadikan instrumen halus untuk menyebar kekeliruan identiti, ideologi liberalisme melampau atau pun pemikiran ekstrem. Terutamanya di kalangan bawah umur seperti pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada perkembangan sama, Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor menyokong tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas dalam perkara itu.

“Debat, seperti mana-mana juga pertandingan atau aktiviti lain mesti disokong. Tetapi, ia haruslah dilaksanakan dengan pendekatan dan cara yang menjadikan kita manusia yang lebih baik.

“Malah, menjadikan kita sebagai warganegara serta penganut dan pendukung agama yang lebih baik. Jika tidak, semua yang kita lakukan akan bersifat sia-sia,” kata beliau.

Terdahulu tular di laman sosial mengenai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar sekolah yang membabitkan topik kontroversi berkaitan asas Islam seperti Islam tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula al-Quran.

Siasatan mendapati panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kementerian Pendidikan semalam berkata, panel terbabit yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close