Berita UtamaIstimewaUtama

Graduan perlu ambil peluang ceburi bidang perniagaan

Kadar pengangguran hampir 60 peratus membimbangkan: Isma

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 17 Safar 1441, Rabu – Kadar pengangguran yang mencecah hampir 60 peratus dalam kalangan graduan selepas setahun tamat pengajian adalah perkara yang membimbangkan, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Kebimbangan itu dinyatakan beliau susulan daripada dapatan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan (KPM), menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.

“Bilangan graduan belum bekerja selepas satu tahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja,” kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh).

Mengulas perkara itu, Aminuddin bagaimanapun menasihatkan graduan yang belum mendapat pekerjaan supaya tidak susah hati, sebaliknya menggunakan ilmu yang ada untuk memulakan perniagaan.

“Mungkin kecil-kecilan dahulu tetapi tak mengapa, lama-lama akan berkembang menjadi besar jika kita berusaha bersungguh-sungguh.

“Kini, permintaan kepada produk-produk sangat tinggi. Persepsi masyarakat terhadap produk-produk Muslim sudah makin bertambah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau tidak melihat kerajaan mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan dalam tempoh terdekat, justeru graduan perlu mengambil peluang untuk menceburi bidang perniagaan.

“Kita perlu terima hakikat bahawa kita kena berdikari dan berusaha sendiri untuk terus hidup. Dengan doa dan keyakinan diri, insyaallah kita akan berjaya.

“Saya yakin anak-anak Malaysia terutamanya anak-anak Melayu kita mempunyai potensi yang besar untuk berjaya. Saya mendoakan yang terbaik untuk para graduan di luar sana. InsyaAllah. Amin,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close