Berita UtamaUtama

Warga asing ditahan, syabu, Eramin 5 dirampas

Nilai rampasan bernilai RM543,700, terbesar sejak 2017

KUCHING, 16 Safar 1441H, Selasa – Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan bersama bungkusan syabu dan pil Eramin 5 bernilai RM543,700, nilai terbesar rampasan narkotik di negeri ini sejak 2017.

Kesemua dadah itu dibawa suspek berusia 32 tahun berkenaan di dalam sebuah beg galas, semasa ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Negeri dan Ibu Pejabat Daerah Polis Serian pukul 7.50 pagi, Khamis lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berasal dari Kalimantan Barat ditahan ketika berjalan seorang diri di Batu 3, Jalan Rock di sini, hasil maklumat dan risikan pihaknya.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 10 ketulan kristal (paket mampat dadah) dipercayai syabu seberat 10.58 kilogram bernilai RM529,000, berdasarkan harga pasaran, dan pil Eramin 5 sebanyak 980 biji bernilai RM14,700,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dev berkata, suspek yang dipercayai telah beberapa kali keluar masuk ke negeri berkenaan masih direman sehingga esok.

“Kita percaya suspek jadikan negeri ini sebagai transit, dadah ini dibawa masuk dari luar, kita percaya dari Semenanjung Malaysia dan dibawa masuk bukan untuk pasaran di sini, dia akan edarkan ke luar negara. Kita akan teruskan siasatan, kita dah kenal pasti dalang dalam sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dev berkata, sejak tahun 2017 sehingga kini seramai 633 warganegara Indonesia ditahan di Sarawak di atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close