Berita UtamaDuniaUtama

Taufan Hagibis ragut 58 nyawa

31,000 askar dikerah cari mangsa terperangkap kawasan bencana

TOKYO, 16 Safar 1441H, Selasa – Hujan lebat menghalang usaha puluhan ribu penyelamat Jepun mencari mangsa yang terselamat susulan ribut kuat pada awal hari ini yang kini mengorbankan 58 orang.

Taufan Hagibis melanda Jepun pada malam Sabtu, membawa hujan lebat dan angin kencang membadai 36 wilayah mencetuskan tanah runtuh dan banjir.

Angka kematian akibat bencana semakin meningkat – menurut berita yang di siarkan NHK, 58 orang maut – sementara pihak berkuasa melaporkan puluhan lagi masih hilang.

Sementara Kerajaan Jepun telah memberikan angka yang lebih rendah tetapi masih mengemas kini maklumatnya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, sehingga kini, masih ramai lagi belum dijumpai di kawasan yang dilanda bencana.

“Pasukan penyelamat bertungkus lumus bekerja siang dan malam untuk mencari serta menyelamatkan mangsa,” kata beliau.

Shinzo berkata, kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik akan memastikan bantuan yang sewajarnya disediakan kepada mangsa terjejas.

Beliau turut mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk mengerah 1,000 askar simpanan untuk menyertai 31,000 askar yang aktif dalam operasi pencarian.

Hagibis yang bermaksud ‘kelajuan’ dalam bahasa Tagalog Filipina, mendarat di pulau utama Jepun di Honshu malam Sabtu lalu sebagai taufan paling ganas dengan kelajuan angin sehingga 216 kilometer sejam.

Sungai melimpahi tebing hampir di 12 lokasi termasuk di Nagano, tengah Jepun. Sehingga petang semalam, hampir 76,000 isi rumah masih ketiadaan bekalan elektrik, dan gangguan bekalan air kepada 135,000 rumah. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close