Berita Utama

Michael Ang kritik rancangan Kor Ming calonkan Kampung Baru Cina tapak UNESCO

Gesa semua pihak henti bangkit isu boleh cetus pergaduhan

BANGI, 26 Rejab 1445H, Rabu – Pengarah dan penerbit drama, Michael Ang mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming susulan rancangannya untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).

Beliau dalam hantaran di laman sosial Instagram mempersoalkan kewajaran pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sedangkan Kampung Baru Cina berstatus kurang daripada 100 tahun.

“Aduh, siapalah si Kor Ming ni. Suka buat hal. Tapak bersejarah? UNESCO? Untuk something less then 100 years?

“Dan aku Cina aku pun tak tahu dekat KL ini ada kampung baru Cina? Setahu aku Kepong and Cheraslah kampung Cina dekat KL ni. Boleh tak siapa siapa beri tahu aku mana kampung baru Cina ni?,” katanya.

Dalam hantaran sama, Michael turut meminta semua pihak untuk berhenti membangkitkan isu seumpama ini yang boleh mencetuskan pergaduhan.

“Dah dah lah benda macam ni boleh buat orang gaduh. Ada banyak lagi benda boleh buat, cuba buat kampung baru Malaysia.

“Mana semua kaum duduk bersama-sama dalam aman damai. Kan itu lagi baik, ini tidak, nak sahaja membelah bahagi kita rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, pihaknya sedang merangka rancangan untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor di UNESCO.

Langkah itu dakwanya, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarahnya.

Tujuh kampung dipilih untuk memohon status taraf Tapak Warisan Dunia UNESCO daripada keseluruhan 613 Kampung Baru di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, Perak, Johor, Melaka dan Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button