Berita UtamaUtama

Rejim Israel guna peluru haram Dum Dum serang rakyat Palestin

Hamza Deirawi kongsi cerita tekanan rakyat Palestin angkara Zionis

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 16 Safar 1441H,Selasa – Rejim pengganas Israel menggunakan peluru Dum Dum – peralatan senjata yang diharamkan di seluruh dunia – bagi menindas serta menyerang rakyat Palestin, kata Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi.

Bercerita mengenai nasib rakyat Palestin yang berterusan ditindas, beliau berkata, hanya Israel sahaja yang berani menggunakan peluru berkenaan, walaupun penggunaannya dikawal dan diharamkan kerana terlalu bahaya.

Katanya, jika terkena seseorang, Dum Dum mampu merosakkan organ badan manusia.

“Jika terkena lengan ataupun kaki, Dum Dum mampu melumpuhkan serta mencacatkan anggota badan kita seumur hidup,” katanya ketika menyampaikan taklimat di ibu pejabat Aman Palestin, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi pelbagai kekejaman rejim pengganas Zionis yang berterusan bertindak biadab, dalam cubaan merampas Masjid al-Aqsa.

Beliau mendedahkan bahawa setiap hari, sekurang-kurangnya 1,000 penduduk haram  menyerbu dan memasuki masjid al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis al-Quds untuk menunaikan ibadat mereka, walhal masjid berkenaan adalah milik umat Islam.

“Mereka langsung tiada rasa hormat terhadap umat Islam, tambahan pula mereka mendapat perlindungan rejim Zionis untuk memasuki masjid itu.

“Rejim Zionis pada masa sama melarang umat Islam memasuki masjid yang sememangnya menjadi hak mereka,” katanya.

Bercerita lanjut, Hamza berkata, penduduk Palestin menghadapi tekanan kerana boleh dikatakan hampir setiap hari mereka ditindas dan diserang tanpa sebab oleh rejim Zionis.

Katanya, rejim Zionis bukan sahaja mendera fizikal rakyat Palestin malah mereka turut mendera emosi dan mental.

Hamza berkata, mereka juga mengekang kegiatan ekonomi dan pendapatan warga Palestin dengan menyerang nelayan Palestin di Gaza serta mengehadkan penangkapan hasil laut.

“Sejak 2007 juga, terlalu ramai rakyat kami ditangkap ke penjara Israel tanpa sebab dan ada juga rakyat yang terpaksa hidup di bawah laut, kerana hidup dan ekonomi dikawal.

“Bayangkan juga hidup kami tanpa perkhidmatan elektrik, tiada hospital dan ubat-ubatan.

“Rakyat Palestin yang inginkan perkhidmatan, ubat-ubatan dan melakukan apa sahaja pembedahan perlu pergi ke Mesir yang turut dikawal tenteranya di sempadan, dan ianya sukar,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close