Berita Utama

Hanya kelompok gila kuasa tolak pelawaan untuk bersatu padu: Abdul Hadi

Rakyat kini dalam bahtera negara yang sedang hadapi taufan wabak mengganas

BANGI, 6 Muharram 1443H, Ahad – “Kalangan yang menolak pelawaan untuk bersatu padu menyelamatkan rakyat dan negara, demi memenuhi kehendak politik peribadi yang sempit, adalah kelompok gila kuasa yang tidak mempedulikan nyawa rakyat.”

Demikian kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan hari ini, susulan penolakan beberapa parti terhadap tawaran kerjasama rentas parti yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu.

Abdul Hadi menegaskan, rakyat kini berada dalam bahtera negara yang sedang menghadapi taufan wabak yang mengganas dan mengancam nyawa rakyat, serta kesannya terhadap masalah kehidupan. 

“Namun, tiba-tiba hari ini diganggu oleh mereka yang ingin merampas kuasa yang nyata menjadi masalah dan nyata pernah gagal menyelesaikan masalahnya. 

“Maka, peluang sepatutnya diberikan kepada kerajaan dalam tempoh yang sepatutnya,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan menghulur tangan dengan mengajak semua pihak tanpa mengira kerajaan sahaja demi menyelesaikan masalah darurat musibah dan bencana, sepatutnya diselesaikan secara kemanusiaan tanpa mempedulikan perbezaan.

“Pelawaan ini hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja. 

“Hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja tidak akan mempedulikan keadaan rakyat yang perlu diselamatkan sekarang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tawaran kerjasama rentas parti dan pengiktirafan peranan parti pembangkang serta tawaran ketua pembangkang setara dengan menteri kanan diberikan Muhyiddin sebagai satu penghinaan.

Beliau berkata, pelawaan itu dilihat licik dan tidak sensitif terhadap permasalahan rakyat sehinggakan sanggup ‘membuai’ beliau dengan sogokan tersebut.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menasihati Muhyiddin supaya meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri seperti mana yang ditetapkan dalam prinsip Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button