Berita UtamaUtama

Negeri Sembilan setuju kuat kuasa larangan jual vape

MB tak mahu gejala hisap vape menular di peringkat sekolah

SEREMBAN, 16 Safar 1441H, Selasa – Kerajaan Negeri Sembilan secara dasarnya bersetuju dengan penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape, meskipun ia kini masih diperingkat kajian dan perbincangan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana beliau tidak mahu gejala menghisap vape itu menular di peringkat sekolah, apatah lagi ia kini mudah dimiliki.

“Ia ada banyak jenis…ada yang bentuk seperti pensil dan pemadam. Jadi kita harap isu vape ini dapat diselesaikan dan diharap keputusan Kementerian Kesihatan akan menuju ke arah yang lebih baik. Secara dasarnya saya setuju,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Kenyataan itu adalah sebagai mengulas sama ada kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan penguatkuasaan larangan penjualan vape secara menyeluruh bagi membendung jualan bahan berkenaan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata, penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape, yang menggunakan cecair tanpa nikotin masih dalam perbincangan.

Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir daripada enam buah negeri yang telah melaksanakan sesi Town Hall Maqasid Syariah, bagi tahun ini.

Program itu disertai Ketua Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad, barisan Exco Kerajaan Negeri serta 300 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close