Berita Utama

Kes langgar mati 8 remaja pengajaran besar pada ibu bapa

Pastikan anak tak terbabit aktiviti lumba basikal terutama tengah malam

BANGI, 21 Ramadan 1444H, Rabu – Nahas kemalangan ngeri menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017, perlu dijadikan pengajaran kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti berbahaya itu.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya mengakui meskipun sedih serta simpati kepada pihak keluarga mangsa, beliau tetap menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mahkamah itu wajar dilihat dari sudut berbeza, kerana dianggap sebagai sebab untuk bermuhasabah dan panduan kepada semua pihak pada masa hadapan.

“Ini satu pengajaran besar kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba basikal, apatah lagi di tengah malam.

“Perlu kepada satu peraturan dan panduan kes-kes sebegini berlaku lagi di masa-masa hadapan, bukan sahaja kepada ibu bapa atau anak-anak, tetapi juga kepada mereka yang memandu.

“Peraturan juga harus dikenakan kepada mereka yang mabuk atau khayal atas sebab apa pun yang menyebabkan pelanggaran dan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, 28, selaku perayu.

Semasa membaca keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan basikal lajak itu.

“Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.

“Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak,” katanya.

Beliau berkata, dapatan Mahkamah Majistret adalah tepat kerana tiada cara lain hendak mengelak kemalangan itu.

Kes ini berlaku pada 18 Februari 2017, kira-kira jam 3 pagi, kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor. Ketika itu, pemandu kereta, Sam Ke Ting terserempak dan gagal mengelak sekumpulan pemain basikal lajak. 

Susulan kemalangan itu, lapan orang remaja, berumur antara 13 hingga 17 tahun, maut ditempat kejadian. Selain itu, dua orang lagi parah dan enam lagi cedera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button